Sana sini...

Isnin, 18 Jun 2012

Doa ketika bangun tidur




Maksudnya:
Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepadaNya kami akan kembali.



Maksudnya:

Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya kekuasaan dan bagiNya pujian dan Dia berkuasa atas setiap sesuatu . Maha Suci Allah, Segala puji bagi Allah dan tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Allah Maha Besar, tiada daya dan upaya melainkan degan keizinan Allah. Ya Allah ampunilah daku.

Ahad, 17 Jun 2012

Antara Dua Tangisan



AIR MATA ada kalanya penyubur hati, penawar duka dan ada kalanya ia menjadi buih kekecewaan yang menghimpit perasaan dan kehidupan ini. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor yang berlimpahan. Namun setitis air mata kerana takut kepada ALLAH SWT persis perata indah yang bergemerlapan terpancar dari segala arah dan penjuru. Penghuni syurga ialah mereka yang banyak mencucurkan air mata demi ALLAH SWT dan RasulNya, bukan semata-mata kerana harta dan kedudukan serta hal duniawi. Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat pula menangis kerana dunia yang datang. Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang batil… alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan (pemuja dunia). Dari mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung akhirat yang dirasakan dekat, mengalirlah air mata keinsafan mengharap kemenangan serta rindu akan RasulNya.
“Penghuni syurga itulah orang-orang yang menang.” (al-Hasr:20)

Tangis adalah basahan hidup. Justeru, hidup dimulakan dengan tangis, dicela oleh tangis dan diakhiri dengan tangis.. Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sabda Rasulullah SAW, “Ada titis yang ALLAH SWT cintai, pertama titisan darah para syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH SWT.”

Nabi Muhammad SAW bersabda lagi, “Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH kasihi daripada tasbih para wali.” Oleh itu, berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang membawa bahagia untuk selamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosanya adalah lebih baik daripada seorang ‘abid. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih ALLAH sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.” Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulama’ dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya. 

Nabi Muhammad SAW bersabda “Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.” Seseorang Hukama pernah bersyair, “Aku hairan dan terperanjat melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan.”

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, bimbang tidak diterima ibadatnya, kita ketawa walaupun sedar kita kosong daripada amalan. Lupakah kita? Sabda Nabi SAW, “Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis.” Kita gembira jika apa-apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau apa yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka.

Namun ALLAH SWT telah berfirman,

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. ALLAH SWT mengetahui sedangkan kamu tidak.” (al-Baqarah:216)

Menangislah wahai diri, agar senyumanmu banyak dikemudian hari kerana engkau belum tahu nasibmu dihisab kanan atau hisab kiri. Di sana, lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, meyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafa’at Rasulullah SWT yang dikasihi Tuhan.

Kenangilah sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menagis bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat. Menagislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata, “Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu. “Menangis Ummu Sulaim apabila ditanya, “Kenapa engkau menangis?” Jawabnya, “Aku tidak mempunyai anak lagi untuk ku kirimkan ke medan perang.” Menangislah seperti Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan. Diharamkan matanya memandang langit seumur hidup, lalu berkata, “Engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu.”

Ibnu Mas’ud r.a berkata, “Seseorang yang mengerti al-Quran dikenali waktu malam ketika orang lain tidur , dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya diwaktu orang lain ketawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusyuknya di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al-Quran itu tenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai bersuara keras dan marah.” Tanyakan kepada orang-orang yang soleh mengapa tidak berhibur.

  

Selasa, 12 Jun 2012

SELAWAT

Jom Berselawat...


Nabi s.a.w bersabda: "Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah oarang yang lebih banyak selawatnya kepadaku."
(Riwayat Ibn Mas'ud r.a)


Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepadaku dengan sesuatu selawat, sentiasalah Malaikat berdoa untuknya selama ia berselawat kepadaku; oleh itu terpulanglah kepada seseorang sama ada ia hendak berselawat sedikit atau banyak." (Amir bin Rabiah r.a)

sebahagian ulama' menyatakan ianya wajib setiap kali disebut nama Rasulullah (S.A.W.), dan sebahagian yang lain menyatakan wajib sekali di sepanjang majlis meskipun dalam majlis tersebut kerap kali disebut nama Rasulullah (S.A.W.) dan sebahagian yang lain menyatakan wajib memperbanyakkan selawat tanpa terikat dengan bilangan dan tidak memadai sekali seumur hidup.


إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
(Surah Al-Ahzab 33: Ayat ke 56)
 

Selasa, 5 Jun 2012

SOMBONG




Sombong, bongkak, angkuh atau takbur mempunyai satu pengertian yang sama, iaitu sifat mazmumah (sifat tercela dan keji). Sekelumit sifat itu menjadi kebencian dan kemurkaan Allah serta boleh menghalang kita mendapat balasan syurga.

Firman Allah yang bermaksud:Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hamba-Ku, mereka akan masuk neraka jahanam sebagai makhluk yang hina (Al-Mukmin:60)

Sifat sombong atau takbur boleh dikenali melalui dua jenis, iaitu takbur zahir dan takbur batin. Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakan. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggap lebih rendah ilmu pengetahuan daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan iaitu tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat orang lain.

Imam Al-Ghazali berkata : Orang yang takbur marah apabila ditegur sedangkan kalau menegur orang lain, caranya keras dan kasar.

Takbur batin adalah membesarkan diri dalam hati dan ini maksiat hati yang dicela. Contohnya, iblis menganggap dirinya lebih baik dan mulia daripada Nabi Adam.Dengan angkuhnya ia enggan tunduk kepada Nabi Adam sehingga menyebabkan Allah melaknat iblis dan seluruh keturunannya. Takbur juga boleh dibahagi kepada tiga, iaitu takbur terhadap Allah, takbur terhadap rasul-Nya dan takbur sesama manusia. Takbur kepada Allah bermaksud tidak mempedulikan perintah Allah, tidak menghiraukan ancaman-Nya dan memandang rendah segala syariat dan peraturan-Nya.

Takbur terhadap Rasulullah s.a.w ialah enggan mengikut petunjuk dan sunnahnya. Orang Quraisy pada zaman Rasulullah enggan mengikutnya kerana baginda anak yatim piatu. Orang Yahudi pula enggan berbuat demikian kerana baginda bukan daripada keturunan Bani Israel. Orang Yahudi berasa diri mereka lebih tinggi daripada orang lain, iaitu takbur sesama manusia. Mereka sering memandang rendah terhadap orang lain kerana menganggap diri mereka berilmu, kaya dan berpangkat sedangkan manusia dijadikan sama di sisi Allah.

Takbur adalah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit tidak boleh menjadi pendakwah kerana tindak tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi jika dia mewakili jemaah kerana nama jemaah akan turut mendapat tempiasnya. 

Imam Ghazali memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur yang ada dalam diri manusia, iaitu :

1. Apabila berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak belum dibebani dosa.

2. Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah mereka juga lebih mulia kerana mereka lebih lama beribadah daripada kita.

3. Apabila berjumpa orang alim, anggaplah dia lebih mulia kerana banyaknya ilmu di dadanya.

4. Apabila melihat orang jahil anggaplah mereka lebih mulia kerana berbuat dosa kerana akhlak-300x245kejahilan sedangkan kita dosa dalam keadaan mengetahuinya.

5. Apabila berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakan, mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu bagaimana akhirnya kehidupan kita.

6. Apabila bertemu orang kafir katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.



Oleh itu mari kita memeriksa diri, apakah kita sudah dijangkiti virus sombong ini atau tanpa diketahui kita adalah salah seorang penghidap serius penyakit itu selama berpuluh tahun.

Iman Al-Ghazali menyimpulkan ada tujuh cara untuk mengenali seseorang yang sedang dan sudah menghidap penyakit hati yang merbahaya ini :
  • Pertama, kelebihan seseorang kerana pengetahuan ilmunya, baik ilmu dunia atau ilmu akhirat. Apabila ilmu sudah penuh di dada dia menganggap semua orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada pandangan yang bernas tetapi tidak diterimanya.
Orang sombong seumpama ini, menghendaki dirinya selalu dihormati oleh orang lain terutama ketika di khalayak ramai, oleh anak muridnya dan orang bawahannya serta sentiasa meminta diberi layanan mulia.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak akan masuk neraka, orang yang di dalam hatinya ada seberat sebiji sawi darinya iman, dan tidak akan masuk syurga yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi darinya sombong.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)
  • Keduanya kerana kelebihan beribadat seseorang. Penyakit orang ahli abid yang merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan orang lain sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti mereka.
Sedangkan mereka terpedaya dengan tipu daya syaitan. Rasulullah SAW mengingatkan melalui sabda Baginda yang bermaksud:
“Bahawa siapa yang memuji dirinya sendiri atas suatu amal salih, bererti sudah tersesat daripada mensyukurinya, dan gugurlah segala amal perbuatannya.”
Jika kita bersifat seperti ini, menghina orang yang tidak bersembahyang atau apabila orang mengerjakan maksiat, lantas menggelengkan kepala dan terdetik di dalam hati, “Apa nak jadi dengan kamu semua. Mengapa tidak alim dan warak seperti aku,” maka kita adalah dalam kategori orang yang berpenyakit sombong. Oleh itu, bersegeralah bertaubat atas kejelekan akhlak.
  • Perkara ketiga yang membuatkan kita sombong ialah kerana ego memperkasakan keturunan, bangga kita berketurunan mulia lagi bangsawan, suka menyebut nama datuk nenek moyang kita yang dulunya dikatakan keramat atau hebat.
Sifat sombong seperti ini tidak ubah seperti kaum Bani Israel yang dilaknat Tuhan, seperti termaktub dalam al-Quran. Mereka bangga dengan keturunan mereka yang banyak menjadi nabi ikutan, konon keturunan mulia dikasihi tuhan.
Mereka rakus melakukan apa saja termasuk membunuh golongan lemah kerana keegoan menganggap orang lain tidak semulia mereka. Seandainya kita zalim, bangga dengan status keturunan, maka kesombongan itu sama dengan kesombongan kaum Bani Israel yang dilaknat tuhan.
  • Perkara keempat menjadikan kita beroleh sombong ialah kerana berasa diri cantik dan sempurna malah memandang orang lain dengan hina, seperti merendah-rendah ciptaan Allah hingga sanggup menyindir atau memberi gelaran tidak baik seperti pendek, berkulit hitam atau gemuk.
  • Sifat sombong kelima berpunca daripada kelebihan harta diberi Allah membuat kita lupa daratan, berbangga dengan kekayaan yang ada, rumah besar, kereta mewah hingga memandang rendah orang yang kurang berada.
  • Keenam, sombong kerana kekuatan dan kegagahan diri. Semua orang akan dibuli kerana kuatnya badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan kaca seperti mengunyah. Boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi. Boleh dihempap badan dengan batu dan besi.
  • Akhirnya yang ketujuh kata Imam Ghazali, ialah sombong dan berbangga kerana ramainya pengikut setia di belakang diri, sepertinya orang alim berbangga dengan ramainya murid yang memuji. Guru silat pula berbangga dengan ramainya murid yang tidak lut ditetak dan dijilat api.
Justeru, hendaklah memeriksa diri sama ada tujuh perkara yang membawa kepada penyakit sombong ada pada kita atau tidak. Penawarnya ada di tangan sendiri kerana penyakit sombong hanya akan memakan diri.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada Allah.” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)



Ya Allah...hiasilah kami dengan sifat mahmudah... dan jauhkan kami dari sifat mazmumah

Ya Allah tetapkanlah hati kami dan janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau memberi hidayah kepada kami.

22 Tanda Hari Kiamat Semakin Hampir


Assalamualaikum...buka2 FB..terjumpa la artikel ni...
Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

1. Sembahyang diabaikan (diringan-ringankan).
2. Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui iklan, buku, gambar, risalah atau filem.
3. Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.
4. Perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.






5. Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.
6. Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.
7. Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.
8. Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.
9. Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.
10. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.
11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).
12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.
13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.
14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.
15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya,
16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.
17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.
18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.
19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.
20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.
21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).
22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah

Khamis, 31 Mei 2012

Status Hukum Infinity Downline @ Login Facebook Dapat RM100

Walaupun isu ni dah lama dibincangkan tapi masih ramai yang tidak tahu dan  sekarang ni memang ramai yang  yang ajak masuk sistem ni. walaupun ada setengah tu join tanpa berfikir @ cuba mencari hukum bagi sistem ni yang mana hukumnya adalah haram menurut fatwa Majlis Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia dan Majlis Fatwa Kebangsaan. 

Tadi saya share la jawapan yang saya ambil dari link ustaz zaharudin di FB...ini kerana ramai sangat yang mengajak di wall saya dan kawaan2.Namun ade pula yang bagi hujah lain untuk menghalalkan sistem ini dan cuba menegakkan benang yang basah...Alih2...saya pula yang kena blok dari jadi friend die...emmm  saya dah cube untuk beri nasihat kepada mereka..terpulang lah kepada mereka.

Disini saya nak kongsi link tentang isu ini. jom kita baca sama2...ni dari Ustaz Zaharudin



ni plak link dari yang mengkritik ustaz zaharudin...saya cuba mencari profil beliau diinternet, tetapi malangnya saya tidak menemui ape2...so untuk kita mempercayai beliau...anda pikir lah sendiri!!!

 Tapi ustaz ini tersilap isu kerana membincangkan perihal hukum beraqad melalui internet pula.



dan ini pula maklum balas dari ustaz zaharudin kepada isu diatas



harap2 kita semua dapat memberi peringatan kepada sesama kita...

Mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah al-Asr:3). jika salah perbetulkan...:)

Jumaat, 18 Mei 2012

SOLAT

 


 emm...moga video ni dapat membantu kita kusyuk,,,semoga kita semua mendapat keberkatan dan cinta ALLAh...

disini saya kongsika tips2 mendapatkan kusyuk.


Berikut adalah beberapa perkara yang boleh dibuat untuk membantu menimbulkan khusyu‘ dalam sembahyang:

1. Sebelum mendirikan sembahyang pastikan perkara-perkara berikut:

i) Menjaga makanan dan minuman. Khusyu’ itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda- benda yang haram atau tidak halal. Oleh itu, pastikan apa yang kita makan dan minum hendaklah bersumber daripada yang halal.

Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:

Maksudnya:
Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah ya dikatakan hati.
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

ii) Mengambil wudhu dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat. Sebab kesempurnaan sembahyang juga terletak kepada kesempurnaan wudhu’.

Diriwayatkan daripada Abu Rauh al-Kula‘ie daripada seorang laki-laki bahawa beliau pernah mendirikan sembahyang Subuh bersama Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam dalam sembahyang tersebut membaca surah ar-Ruum. Pada salah
satu ayatnya, bacaan Baginda terganggu. Lalu apabila selesai sembahyang Baginda bersabda:

Maksudnya:
“Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu yang sembahyang bersama kami tidak menyempurnakan wudhu’ mereka. Oleh itu, siapa yang mendirikan sembahyang bersama kami, maka sempurnakanlah wudhu’nya.

(Hadits riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)

Di samping itu sebahagian kelebihan wudhu’ itu dapat menjauhkan seseorang daripada gangguan syaitan. Saidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu berkata:

Maksudnya: “Sesungguhnya wudhu’ yang baik itu mengusir syaitan daripada engkau.”

iii) Membersihkan diri, termasuk bersugi. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak sembahyang.
” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Para ulama menegaskan bahawa bersugi itu mempunyai tujuh puluh faedah. Antara faedah dan kelebihannya ialah:

�� Membersihkan dan mengharumkan bau mulut.
�� Memutihkan gigi.
�� Mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
�� Membetulkan atau meluruskan tulang belakang.
�� Menolong menguatkan gusi.
�� Meningkatkan kecerdikan.
�� Menggandakan pahala amal ibadat.
�� Melancarkan kefasihan atau kepetahan pertuturan.
�� Menguatkan hafalan.
�� Mensucikan hati.
�� Menyukakan malaikat.

iv) Jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.

v) Jangan sembahyang dalam keadaan lapar.

Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk makan dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul kebimbangan dan ketidakselesaan ketika menunaikan sembahyang.

Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:

Maksudnya:
Jangan sembahyang ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.
(Hadis riwayat Muslim)

vi) Memakai pakaian yang bersih dan kemas. Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung kaki yang sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya.

vii) Pilih tempat sembahyang yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya.

Termasuk langkah yang boleh dibuat, pastikan tidak terdapat telepon di dalam bilik tersebut. Atau jika membawa bersama telepon bimbit, pastikan ianya dimatikan (switch off) sebelum sembahyang.

Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan sembahyang di tempat orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan sembahyang seseorang.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya:
“Bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menegah mendirikan sembahyang pada tujuh tempat: Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah-tengah jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas Baitullah.”

(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

iix) Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.

Diriwayatkan daripada Saidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam pernah mendirikan sembahyang di atas hamparan daripada bulu yang mempunyai objek lukisan, lalu Baginda bersabda:

Maksudnya:
“Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan kepadaku hamparan tebal yang tidak ada ukiran.”
(Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan mengenai riwayat di atas bahawa ianya memberi petunjuk akan galakan supaya menghindarkan atau menjauhkan apa-apa yang dikhuatiri melalaikan hati dari khusyu‘ ketika mendirikan sembahyang.

Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma tidak pernah meletakkan al-Qur’an atau pedangnya di tempat sembahyangnya, juga tulisan atau surat. Semuanya diletakkan di belakangnya atau di mana saja yang tidak dapat dilihat olehnya.


2. Ketika hendak menunaikan sembahyang lakukan perkara-perkara berikut:

i) Usahakan sembahyang dilakukan secara berjemaah.

Mendirikannya dalam keadaan berjemaah adalah suatu tuntutan. Sembahyang berjemaah itu adalah di antaravsyi‘ar agama.

Selain pahala sembahyang berjemaah itu melebihi sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang yang sembahyang berjemaah itu memperolehi khusyu‘ ketika sembahyang dan terselamat daripada perkara yang boleh
melalaikannya.

ii) Menghadirkan hati.

Maksudnya ialah sebelum mendirikan sembahyang kosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan ibadat sembahyang yang dikerjakan.

Tersebut dalam satu riwayat bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda kepada seorang sahabat bernama ‘Utsman bin Thalhah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya:
“Aku lupa untuk menyuruhmu menutup dua tanduk kibasy (dari pandangan orang). Maka sesungguhnya tidak sepatutnya ada di rumah sesuatu yang mengganggu orang yang sembahyang.””

(Hadits riwayat Abu Daud)

Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu berkata:
“Antara tanda kefahaman seseorang ialah dia memulai memenuhi keperluannya terlebih dahulu sebelum dia masuk menunaikan sembahyang supaya dia masuk ke dalam sembahyang dalam keadaan hatinya kosong dari perkara yang lain.”

iii) Mengingatkan mati dan kemungkinan sembahyang itu yang terakhir sekali dalam hidupnya.

Diriwayatkan daripada Hatim al-Asham Radhiallahu ‘anhu bahawa ditanyakan kepadanya tentang sembahyangnya, beliau beliau menjawab:

Maksudnya:
“Apabila tiba waktu sembahyang aku menyempurnakan wudhu dan aku mendatangi tempat di mana di situ aku hendak mendirikan sembahyang. Lalu aku duduk pada tempat itu sehingga berkumpullah seluruh anggota tubuhku. Kemudian aku berdiri menunaikan sembahyangku dan aku jadikan Ka‘bah di antara dua keningku, titian ash-shirath di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku, aku menyangka sembahyang ini adalah sembahyangku yang terakhir. Kemudian aku berdiri di antara mengharap dan takut, aku bertakbir dengan penuh keyakinan, aku membaca dengan bacaan yang betul, aku ruku‘ dengan merendahkan diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk atas punggung kiri dan aku bentangkan belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki kanan atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. Kemudian aku tidak tahu sama ada sembahyangku diterima atau tidak?”

iv) Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri daripada syaitan. Umpamanya seperti berikut:

�� Surah an-Nas:

Tafsirnya: “Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. ”

�� Ta‘awudz, seperti:

Tafsirnya: “Wahai Tuhanku! Aku berlindung kepadaMu dari hasutan syaitan-syaitan, dan aku
berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.”

�� Tahlil:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ

Ertinya: “Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”

�� Zikir:

امنا با الله و برسوله


Maksudnya: “Kami beriman dengan Allah dan rasulrasulNya.”

Antara tipu daya syaitan ialah memesongkan atau memalingkan perhatian semasa sembahyang. Caranya ialah dengan memalingkan hati kita dari meneliti dan memahami apa yang sedang kita baca. Dari situ kita akan hilang renungan untuk hari akhirat dan keikhlasan ibadat yang dilakukan. Adakalanya sehingga seorang itu boleh menjadi ragu dan was-was tentang bilangan rakaat yang telah ditunaikannya, adakah sudah cukup atau masih lagi kurang.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Sesungguhnya salah seorang daripada kamu apabila berdiri menunaikan sembahyang syaitan akan mendatanginya, lalu syaitan menimbulkan kesamaran ke atas orang itu sehingga dia tidak tahu berapa rakaat sudah ditunaikannya….”
(Hadits riwayat Muslim)



3. Ketika menunaikan sembahyang pusatkan perkara-perkara berikut:

i) Meneliti bacaan-bacaan dalam sembahyang, sama ada bacaan itu terdiri dari ayat-ayat al-Qur’an atau selain dari ayat-ayat al-Qur’an iaitu tasbih dan takbir dan doa. Jika boleh, fahami makna bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan hati dalam sembahyang. Hati mestilah ikut mengetahui segala apa yang kita baca.

ii) Merasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam ruku‘ dan sujud. Tempoh masa rukuk dan sujud pula elok dipanjangkan.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud…..

(Hadis riwayat Muslim)

iii) Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam sembahyang.

iv) Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia.

v) Segala perhatian dalam sembahyang itu hendaklah tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali.

vi) Sembahyang dilakukan dalam keadaan thuma’ninah.
Thuma’nînah dalam ruku‘, sujud dan lain-lain rukun fi‘li (perbuatan).

Thuma’ninah ertinya anggota seseorang itu tetap diam seketika ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang seperti ruku‘, sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar bacaan
zikir: “ .” سبحان الله Maknanya, gerakan di dalam sembahyang itu tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, tidak dilakukan dengan bercepat-cepat tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada mengajar kita tentang perkara ini di dalam sabda Baginda:

Maksudnya:
“Apabila kamu berdiri menunaikan sembahyang maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua sembahyang kamu.

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

vii) Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta, sekalipun sembahyang di dalam gelap kecuali ketika membaca perkataan إلاّ الله dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang sembahyang itu dialihkan ke jari telunjuknya.

Jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyu‘ dalam sembahyang seseorang itu, maka bolehlah dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.

Begitulah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk mendapatkan khusyu‘ di dalam sembahyang. Memang tidak dinafikan, terdapat setengah orang masih tidak mampu memperolehi khusyu‘ di dalam sembahyangnya walaupun dengan mengamalkan bermacam-macam tip atau panduan.

Yang penting tidak mudah berputus asa dan sentiasalah gerakkan diri kita berusaha untuk mendapatkannya. Jangan lupa juga untuk banyak-banyak memohon doa kepada Allah Ta‘ala supaya dikurniakan kepada kita hati yang bersih dan khusyu‘ dalam beribadat kepadaNya.
 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...