I. Kelahiran Salahuddin
Berasal dari keluarga yang mempunyai keturunan yang mulia inilah, Salahuddin Yusuf bin Ayyub dilahirkan pada tahun 532 H bersamaan 1137M. Tempat lahirnya ialah di kota Tikrit. Tikrit adalah sebuah daerah yang hampir dengan kota Baghdad. Di sini terdapat sebuah kota yang kukuh terletak di tebing sungai Dijlah.
Kota ini telah dibina oleh raja-raja Parsi di zaman lampau di sebuah kawasan dataran berbatu. Kota ini digunakan untuk menyimpan berbagai khazanah, disamping bertindak sebagai tempat mengintip pergerakan musuh. Daerah ini telah dibuka oleh orang-orang Islam pada tahun 16 H, di zaman pemerintahan Umar bin Al-Khattab RA.
Setelah itu daerah ini bersilih ganti jatuh ke tangan beberapa buah kerajaan Islam, sehinggalah akhirnya ia jatuh ke tangan kerajaan bani Seljuk. Ayyub bin Syazi ayahanda Salahuddin telah berhubing dengan salah seorang pegawai dan pemerintah pasukan polis bani Seljuk di Baghdad di waktu itu adalah Mujahiduddin Bahruz.
Mujahiduddin Bahruz telah melantik Ayyub menjadi penguasa di kota Tikrit, manakala saudaranya Syirkuh Asaduddin telah dilantik sebagai penolongnya. Jawatan kedua beradik ini menyerupai pemerintah Tikrit dalam ertikata yang sebenarnya.
Kedua beradik ini datang ke bumi Iraq dari sebuah kampung terpencil di hujung sempadan Azerbajian, di satu kawasan yang dikenali dengan nama Dawyin, berhampiran dengan daerah Aran. Keturunan keduanya sebagaimana yang disebutkan sebelum ini adalah dari kabilah Kurdi Rawwadiah. Mereka telah menetap di Tikrit dan bertugas dalam pasukan polis Bahruz.
Apa yang peliknya ialah kelahiran Salahuddin serentak dengan hari Mujahiduddin Bahruz memerintahkan Najmuddin Ayyub dan saudaranya Syirkuh meninggalkan bandar Tikrit, yang disebabkan tindakan Syirkuh membunuh salah seorang pengawal keselamatan di kota Tikrit yang cuba mengganggu kehormatan seorang gadis. Syirkuh telah bertindak membunuh pengawal tersebut demi menjaga kehormatan dan maruah gadis terbabit, yang meminta pertolongan daripadanya.
Berikutan kejadian Bahruz berada dalam keadaan dilema, sama ada mengekalkan Syirkuh di kota Tikrit atau memerintahkannya supaya meninggalkan kota itu. Bahruz bimbang jika ia mengekalkan Syirkuh dan saudaranya itu menjadi penguasa Tikrit, pengawal-pengawal lain akan membalas dendam. Tidak ada cara lain untuk mengatasi masalah ini kecuali menyuruh Najmuddin dan saudaranya itu meninggalkan kota Tikrit. Mujahiduddin Bahruz datang sendiri bertemu dengan keduanya dan menyatakan rasa bimbangnya akibat peristiwa itu, dan meminta mereka berdua keluar dari Tikrit pada malam itu juga. Kedua bersaudara ubu jekyar dari Tikrit menuju ke Mausul dengan membawa keluarga masing-masing. Salahuddin turut serta dalam perjalanan ini.
Pengarang buku "Wafiat Al-A'yan" menjelaskan ayahanda Salahuddin, iaitu Najmuddin Ayyub pernah menunjukkan reaksi kurang senangnya terhadap Salahuddin ketika melarikan diri dari kota Tikrit. Najmuddin pernah berhasrat untuk membunuh Salahuddin, apabila anaknya itu menjerit di dalam perjalanan, tetapi salah seorang pengikut Najmuddin memberi amaran kepadanya supaya melupakan niatnya itu dengan menegaskan: "Wahai tuan yang mulia, saya melihat tuan begitu bersedih dan menunjukkan reaksi kurang senang terhadap anak ini.
Apakah dosanya maka tuan berusaha membunuhnya? Atas alasan apakah tuan sanggup berbuat demikian?. Tindakan tuan ini tidak sedikitpun bermanfaat dan tidak dapat memudaratkan perjalanan ini, malah tidak akan mendatangkan apa-apa faedah. Apa yang berlaku pada tuan ini adalah ketentuan qadak dan qadar Allah. Manalah tahu suatu hari nanti anak tuan ini akan menjadi seorang raja yang agung, masyhur dan terkenal di seluruh pelosok dunia.
Manalah tahu suatu hari nanti Allah memberikan kedudukan yang begitu tinggi kepadanya, kerana itu berikanlah sepenuh perhatian kepada anak tuan yang tidak berdosa dan tidak mengenal kesusahan yang sedang tuan hadapi ini". Ucapan ini memberi kesan kepada Najmuddin Ayyub, lantas beliau menarik balik hasratnya dan kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada anaknya itu.
II. Kehidupan Salahuddin Al-Ayyubi
Najmuddin Ayyub dan saudaranya Syirkuh meninggalkan Baghdad menuju ke Mausul. Di sini keduanya berkhidmat dengan Imaduddin Zanki yang mengalu-alukan kedatangan mereka, malah memberi berbagai hadiah dan layanan istimewa kepada keduanya. Sambutan hangat dan kemuliaan yang diberikan oleh Imauddin Zanki ini disebabkan tindakan Najmuddin dan saudaranya Syirkuh menyelamatkan Imaduddin Zanki dari dibunuh dan menjadi tawanan kerajaan bani Seljuk. Imaduddin Zanki pernah memerangi kerajaan bani Seljuk di kota Tikrit beberapa hari.
Kebetulan pada masa itu Bahruz menjadi penguasa kota Baghdad bagi pihak kerajaan bani Seljuk. Sebelum ini telah dijelaskan Syirkuh dan saudaranya Najmuddin pernah dilantik oleh Bahruz menjadi penguasa di kota Tikrit bagi pihaknya. Serangan yang dilakukan oleh Imaduddin Zanki menatijahkan beliau mengalami kekalahan teruk di hadapan tentera bani Seljuk.
Ketika mengundurkan diri ke Mausul, Imaduddin melalui kota Tikrit. Nyawa beliau dan bala tenteranya berada di tangan penguasa kota Tikrit iaitu Najmuddin dan saudaranya Syirkuh. Jika Najmuddin mahu ia boleh membunuh kesemua bala tentera Imaduddin Zanki, namun ia lebih suka memberi layanan yang baik kepada musuh kerajaan bani Seljuk itu, dan memberikan bantuan-bantuan yang perlu sehingga akhirnya Imaduddin Zanki selamat sampai di Mausul.
Layanan dan akhlak yang baik ini rupa-rupanya telah mendatang natijah yang baik dalam membina kerajaan bani Ayyub dan menegakkan kemuliaan Islam di kemudian hari oleh Salahuddin Al-Ayyub. Sebagai membalas jasa keduanya Imaduddin Zanki telah memberi sambutan yang meriah kepada mereka. Selain itu Imaduddin juga menghadiahkan sebidang tanah supaya mereka dapat hidup dengan selesa di Mausul.
Najmuddin dan saudaranya berserta Salahuddin tinggal bersama Imaduddin Zanki dibawah layanan yang cukup istimewa dan penuh kemuliaan, malah Imaduddin menyerahkan kepada Najmuddin dan Syirkuh urusan ketenteraan. Ketika kota Ba'albak jatuh ke tangan Imaduddin pada tahun 534H, beliau telah melantik Najmuddin sebagai gabenor di kota ini. Ini menunjukkan betapa erat dan ikhlasnya hubungan antara Imaduddin Zanki dengan Najmuddin.
Salahuddin menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Ba'albak. Inilah tahun-tahun yang paling bahagia bagi Salahuddin menghabiskan zaman kanak-kanaknya. Salahuddin dibesarkan dengan penuh semangat keberanian dan kapahlawanan. Beliau dilatih menghadapi peperangan dan jihad, mempraktikkan siasah negara dan segala urusan yang berkaitan, sebagaimana kata penyair:
"Anak muda kita membesar di kalangan kita, mengikut tradisi yang biasa dilalui oleh bapanya"
Masa-masa yang dihabiskan oleh Salahuddin di Damsyik setelah kota itu jatuh ke tangan Nuruddin bin Imaduddin Zanki, adalah hari-hari yang paling cemerlang dalam hidupnya. Di sinilah keperibadian dan bakat beliau menonjol sehingga menerima pujian dan sanjungan dari masyarakat, malah beliau mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dari anak pemerintah Damsyik sendiri. Salahuddin muncul di tengah-tengah masyarakat sebagai seorang pemuda yang tenang, beradab dan kuat pegangan agamanya.
Semangatnya untuk membela Islam dan kaum muslimin berkobar-kobar di dalam jiwanya. Ini sedikit sebanyak berpunca dari pengaruh Nuruddin Zanki sendiri yang pada masa itu adalah seorang yang mempunyai akhlak yang mulia dan telah memberikan Salahuddin kedudukan yang istimewa di sampingnya. Di antara jawatan yang disandang oleh Salahuddin sewaktu di Damsyik ialah sebagai ketua polis Damsyik. Salahuddin telah melaksanakan tugasnya dengan baik dan berjaya membersihkan bandar Damsyik dari pencuri dan penceroboh.
Akhirnya keamanan dan kestabilan menyelubungi seluruh bumi Syam. Rakyat merasa diri dan harta mereka aman dan mereka dapat menjalani kehidupan seharian dengan selesa. Inilah dikenali dengan nama Arqalah Ad-Dimasyqi menggambarkan kegembiraannya apabila Salahuddin memegang jawatan ketua polis Damsyik:
"Berhati-hatilah wahai pencuri-pencuri negeri Syam. Aku ingin menasihatkan anda sekalian. Sekarang serupa namanya dengan Nabi Yusuf yang empunya hujah dan kecantikan, telah datang. Kecantikan Nabi Yusuf menyebakan terpotongnya tangan gadis-gadis yang melihatnya, manakala Yusuf Salahuddin pula memotong segala tangan-tangan yang mencuri."
Tempoh masa yang dihabiskan oleh Salahuddin di Mesir pula merupakan tempoh masa yang paling kemuncak bagi beliau, kerana pada masa itu sikap kepahlawanannya terserlah, manakala kemahiran dan kepintarannya dalam siasah peperangan mula menonjol. Ketika Syawar As-Sa'di memberontak menentang kerajaan Fatimi di Mesir pada tahun 558H, beliau telah meminta pertolongan Nuruddin Zanki dari Damsyik.
Pada peringkat awalnya Nuruddin merasa ragu dengan permohonan itu tetapi kemudiannya beliau mengubah fikiran lalu menghantar panglima agungnya Asaduddin Syirkuh yang turut disertaioleh anak saudaranya Salahuddin yang mempunyai kemahiran yang tinggi dan unggul dalam seni-seni peperangan dan pertempuran bersama dengan bapa saudaranya Syirkuh berjaya meletakkan Mesir di bawah pemerintahan Nuruddin pada tahun 546H.
Kesimpulannya zaman kanak-kanak Salahuddin penuh dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Zaman inilah beliau dapat bergaul dengan para amir, panglima-panglima tentera, mempelajari seni kemahiran peperangan, menunjukkan semangat yang tinggi untuk membela Islam, dan berani, baik dari sudut material mahupun dari sudut tatasusila. Sifat-sifat inilah yang melayakkannya menjadi tokoh ulung lagi cemerlang yang berjaya menggegarkan dunia dan menukar perjalanan sejarah.
III. Salahuddin Sebagai Menteri Kerajaan Fatimiah
Asaduddin Syirkuh meninggal setelah dua bulan memegang teraju menteri kerajaan Fatimiah. Salahuddin berkabung kerana kematian bapa saudaranya itu selama tiga hari. Sementara itu, khalifah mula memikirkan untuk memilih Salahuddin sebagai menterinya. Beliau telah membuat keputusan untuk melantik Salahuddin sebagai menterinya sebagai menggantikan Asaduddin Syirkuh, walaupun umur Salahuddin pada masa itu terlalu muda dan masih ramai panglima-panglima agung yang lain yang turut serta dalam barisan tentera Syam.
Ahli sejarah menjelaskan sebab pemilihan ini ialah khalifah bermaksud ingin mengawal Salahuddin dan menjadikan beliau orang suruhannya, tetapi keadaan tidak menyebelahinya. Salahuddin dilantik menjadi menteri ketika berumur 32 tahun setelah terlatih dalam beberapa peperangan dan mecedok pengalaman yang berharga ketika bersama bapa saudaranya Asaduddin Syirkuh. Inilah yang menyebabkan kedudukannya begitu cemerlang.
Salahuddin seorang menteri yang baik. Beliau berjaya mengambil hati rakyat Mesir supaya tidak berpakat dengan amir-amir yang lain menentangnya. Beliau memeberikan bantuan yang melimpah ruah kepada rakyat dan berurusan dengan mereka dengan lembut dan penuh toleransi, menyebabkan beliau sangat-sangat disukai dan dikasihi oleh rakyat jelata. Diantara faktor yang meningkatkan lagi kemasyhurannya ialah kejayaan beliau mengalahkan tentera salib Perancis yang menyerang Dimyat dan Ghizzah serta kejayaan beliau menguasaai bandar Aqabah.
Bandar ini adalah kunci Laut Merah bagi para jemaah haji Mesir khususnya dan kaum muslimin amnya untuk ke Mekah Mukarramah. Kejayaan menguasai jalan penting ini menjadi faktor utama kepercayaan dan keikhlasan penduduk Mesir kepada beliau. Ini sekaligus menjadi faktor utama mereka meninggalkan mahzab syiah dan bergabung dengan saudara-saudara mereka dari kalangan ahli Sunnah Wa Al-Jamaah, di bawah panji-panji Salahuddin, yang memerangi musuh-musuh Allah, golongan kuffar dan tentera Salib yang zalim dan penghasad dengki itu.
IV. Sebab dan Dorongan Berlakunya Perang Salib
Peperangan ini tercetus oleh banyak faktor. Antaranya:
1. Dorongan Hasad Dengki Sekian Lama Pihak Salib Terhadap Islam Dan Umat Islam.
Ini berikutan Kejayaan umat Islam menguasai Baitul Maqdis dan meletakkannya di bawah keadilan pemerintahan Islam di samping pembukaan yang terbentang luas yang dilakukan oleh tentera Islam ke atas wilayah-wilayah di kawasan Asia, Afrika dan juga Eropah yang sebelumnya berada di bawah pengaruh Kristian.
2. Kota Konstintiniyah terancam oleh penguasaan Seljuk Islam, setelah mereka berjaya menghampiri kota itu. Oleh itu Emperor Baizantin Alexius Comnenus meminta bantuan daripada negara-negara Kristian untuk menentang umat Islam.
3. Pembohongan yang dilakukan oleh para jemaah haji Kristian yang pulang ke Eropah setelah menunaikan haji ke Baitul Maqdis tentang kezaliman dan pembunuhan yang dihadapi oleh mereka dari pihak kaum muslimin. Antara yang paling kuat sekali menghasut dan menaburkan fitnah di sana ialah Patriach Ermite.
4. Semangat keagamaan
Wujud semangat keagamaan di kalangan orang-orang Kristian untuk membebaskan Baitul Maqdis daripada tangan kaum muslimin dan mendapatkan pengampunan dosa dan kesalahan bagi setiap orang yang turut serta dalam peperangan Salib. Perhimpunan-perhimpunan yang diadakan oleh pihak gereja dan pidato-pidato berapi-api daripada pihak Uskup, Rahib dan Pope adalah teknik yang paling berkesan dalam menaikkan keagamaan di kalangan orang-orang Kristian dan untuk memonopoli semangat itu.
5. Kecenderungan kerajaan Fatimiah di Mesir mengadakan pakatan dan kerjasama dengan kerajaan Baizantin bagi menentang kaum muslimin Seljuk, dalam usaha mendapatkan kembali wilayah-wilayah yang dikuasai oleh kaum muslimin Seljuk itu.
Di antara yang perlu disebut di sini ialah Pope telah menyampaikan pidato penting dalam perhimpunan Clirmont di Perancis,yang terakhir dengan pengisyitiharan perang Salib ke atas dunia Islam pada tahun 488H dan permusuhan terhadap Islam dan kaum muslimin. Di antara isi pidatonya ialah:
"Peperangan ini bukan untuk menguasai satu bandar sahaja, malah seluruh kawasan Asia dengan segala kekayaan dan khazanahnya yang tidak terhingga. Jadikanlah kubur suci Nabi Isa sebagai pengkalan untuk bergerak dan bebaskanlah bumi-bumi suci daripada tangan-tangan kaum perampas. Anda sekelian sebagaimana yang dinyatakan oleh Tawrat adalah bumi yang akan melimpahkan kepada kita susu dan madu."
V. Sebab-sebab Kemenangan Salahuddin Dalam Pertempuran Hittin
Sebelum ini telah dijelaskan Salahuddin berjaya membenuk sebuah kerajaan yang besar yang merankumi utara Iraq atau Kurdistan, Syam, Mesir, Barqah dan lain-lain. Kejayaan Salahuddin ini memudahkan beliau menyediakan persiapan bagi memerangi tentera salib dan membebaskan Baitul Maqdis serta wilayah-wilayah lain yang tunduk kepada pemerintahan dan kekuasaan mereka.
Salahuddin menuggu kesempatan yang baik untuk bertindak dan memberi pengajaran kepada mereka dengan pengajaran yang mereka tidak akan lupa buat selama-lamanya, disebabkan oleh keganasan dan jenayah-jenayah yang mereka lakukan ke atas Baitul Maqdis, Masjidil Al-Aqsa dan para penduduknya sebelum itu.
Masa untuk bertindak bagi Salahuddin tiba, apabila Raynald pemerintah Salib di Karak menyerang kafilah dagangan Salahuddin pada tahun 582H. Wilayah Karak terletak antara negara Mesir dan Syam. Salahuddin sendiri mempunyai perjanjian dengan kerajaan ini. Di antara perjanjian ialah kafilah-kafilah dagangan Islam dibenarkan berulang-alik antara Mesir dengan Syam dengan aman dan selamat. Begitulah sebaliknya.
Hasil pencerobohan Raynald ke atas kafilah dagangan Islam manakala harta benda mereka dirampas. Ahli-ahli sejarah melaporkan ketika kafilah dagangan kaum muslimin jatuh ke tangan Raynald, beliau mempersendakan agam Islam dan Nabi Besar Muhammad SAW. Raynald pernah berkata:
"Jika anda semua yakin kepada ajaran Muhammad, panggillah ia supaya membebaskan anda semua dan menyelamatkan anda dari keadaan yang sedang anda tempuhi sekarang"
Apabila berita ini sampai ke pengetahuan Salahuddin, bukan main kepalang marahnya beliau kepada Raynald, sehingga beliau bersumpah jika beliau berjaya menawan Raynald, beliau akan membunuhnya dengan tangan beliau sendiri. Pencerobohan yang dilakukan oleh pihak Salib ini memberi ruang kepada Salahuddin melancarkan perang menentang tentera Salib dan memberi pukulan teruk kepada mereka.
Nama Salahuddin tersebar ke Eropah dan menjadi bahan perbualan kaum ibu bagi menakutkan anak-anak mereka Salahuddin menunjukkan moral yang tinggi terhadap musuhnya yang tidak berdaya, tidak sebagaimana layanan kaum Salib terhadap tawanan Islam. Beliau melayan dengan baik para tawanan, kaum wanita dan kanak-kanak salib sehingga perkara ini menjadi kebanggaan sejarah dan contoh tauladan kepada generasi selepas beliau.
diambil dari darurulnuman...enjoying