Sana sini...

Isnin, 27 Disember 2010

kita sering merungut SIBUK...

Kita sering merungut sibuk.. saya sibuk nie.. tak dapat nak hadir majlis ilmu, tak sempat hadir usrah, tak sempat nak hadir mesyuarat dan lain-lain. Tapi tahukah anda bahawa Ar-Rasul adalah manusia yang paling sibuk. Namun kita lihat bagaimana ia memperuntukkan masanya untuk beribadah kepada Allah sehingga bengkak kedua kakinya sedangkan beliau telah dijanjikan syurga.
Ini kerana beliau mahu menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah yang telah memberinya banyak nikmat. Maka marilah kita sama-sama ukur sejauh mana kesibukan kita dan kesyukuran kita kepada Allah  s.w.t .
Rasulullah s.a.w. sibuk kerana:
  • Memikirkan masalah umatnya sampai kiamat
  • Bermunajat kepada Allah setiap malam
  • Mengajar ilmu kepada sahabat setiap hari
  • Berperang di jalan Allah
  • Melayani isteri-isteri
  • Menerima dan mengajar Al-Qur'an yang disampaikan oleh Jibrail  selama 23 tahun serta menghafalnya
  • Melayani tetamu dari bangsa Badwi, Yahudi, Parsi, dan lain-lain
  • Menziarah orang sakit (biar muslim, munafiq atau yahudi)
  • Mengajar ilmu  Al-Qur'an kepada Jin
  • Memikirkan untuk menyelamatkan umatnya di hari kiamat (dengan  menyimpan permintaan yang paling besar kepada Allah untuk digantikan  dengan syafaat)
Tetapi kita.... sibuk kerana hanya beberapa perkara :
  • Kerja
  • Keluarga (isteri dan anak-anak)
  • Melangsaikan hutang
  • Main facebook, nengok Youtube
  • Dan lain-lain..
Renungkanlah kata-kata ini pula :
Lebih baik mata itu buta jika tidak menghargai keindahan dan ayat-ayat Allah s.w.t.
Lebih baik telinga itu pekak jika tidak mendengar nasihat-nasihat Allah s.w.t.
Lebih baik anggota badan itu mati jika tidak melaksanakan segala suruhan Allah s.w.t.
Barangsiapa mengaku empat perkara tanpa disertai dengan empat perkara yang lain, maka dia adalah pembohong. Barangsiapa mengaku cinta syurga tetapi tidak beramal dengan ketaatan, maka dia adalah pembohong.
Barangsiapa yang mengaku cinta Rasulullah saw tetapi tidak cinta kepada ulama dan kaum faqir, maka dia adalah pembohong. Barangsiapa yang mengaku takut pada neraka tetapi tidak meninggalkan maksiat, maka dia adalah pembohong. Dan barangsiapa yang mengaku cinta kepada Allah swt tetapi berkeluh-kesah dari bala, maka dia adalah pembohong. _Al-Imam Ghazali

Rabu, 15 Disember 2010

INGAT 2 PERKARA DAN LUPA 2 PERKARA

1.INGAT 2 PERKARA

PERTAMA:

KEBAIKAN,JASA,DAN BUDI ORANG kepada kita perlu diingat selalu dan sekiranya berpeluang, maka eloklah disebut-sebut dan dibalas walaupun balasan itu tidak setimpal.

Orang yang paling banyak budinya pada kita ialah IBUBAPA. Ingat tu. Ingatan itu akan melahirkan rasa berterima kasih dan menghargai. Lalu,ERATLAH TAUTAN ANTARA HATI-HATI. Lebih-lebih lagi kita perlu ingat dan mensyukuri segala NIKMAT dan LIMPAH kurnia Allah SWT kepada kita yang tidak terhingga banyaknya.

Allah SWT berfirman:

                                 {11}        وأما بنعمة ربك فحدث        
Maksudnya: Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (sebagai tanda syukur)

                                                             (Surah al-Dhuha:11)  

KEDUA:

KESALAHAN KITA kepada orang lain hendaklah sentiasa kita ingat dan kita MINTA MAAF daripadanya terutamanya ibubapa. Ingat selalu tentang kesalahan diri agar kesalahan itu tidak diulangi.

                     RASA BERSALAH ITU PENTING KERANA
            RASA ITULAH YANG MENDORONG KITA MEMINTA MAAF.

Itu kesalahan kita terhadap sesama manusia. Lebih-lebih lagilah kita perlu ingat dosa-dosa dan kederhakaan kita kepada Allah. KITA IRINGI INGATAN KEPADA DOSA-DOSA ITU DENGAN BERTAUBAT. Kekalkan rasa berdosa itu supaya kita terhindar daripada melakukan dosa-dosa yang lain. Sementara hati kita sentiasa TAKUT dan BERHARAP agar Allah AMPUNKAN DOSA kita.




2.LUPA 2 PERKARA

PERTAMA:

Lupakan SEGALA BUDI,JASA dan KEBAIKAN KITA kepada orang terutamanya kebaikan kita kepada ibubapa. Jangan diungkit-ungkit dan dikenang-kenang.

Kembalikan segala kebaikan yang kita buat itu kepada Allah. Rasakan seolah-olah KITA TIDAK PERNAH BERBUAT BAIK kepada orang. Lebih-lebih lagi,kita kena lupakan segala amal ibadah yang telah kita buat kepada Allah. Jangan diungkit-ungkit atau dikenang-kenang.

                 RASAKAN SEOLAH-OLAH KITA TIDAK BERAMAL.
    Dengan itu,moga-moga hati kita tidak dilintasi oleh rasa ujub,sum'ah
                     atau riyak atau rasa diri baik dan mulia..

KEDUA:

Lupakan KEJAHATAN ORANG LAIN TERHADAP DIRI KITA. Anggaplah seolah-olah tidak ada sesiapa yang bersalah pada kita supaya tidak tercetus rasa marah atau dendam terhadap orang lain.

Lebih-lebih lagi hendaklah kita LUPAKAN SEGALA KESUSAHAN DAN UJIAN, MUSIBAH ATAU MALAPETAKA yang Allah timpakan kepada kita seperti sakit,kematian,kerugian,kemalangan dan kegagalan.

Sebagai contohnya banjir,kemarau,ribut taufan,tsunami,wabak penyakit,
kemelesetan ekonomi,dan sebagainya. SUPAYA TIDAK TERCETUS PERASAAN TIDAK SABAR DAN TIDAK REDA DENGAN KETENTUAN ALLAH.

SUMBER-SUMBER

DIPETIK DARI BUKU "TIP MEMENANGI HATI IBU BAPA

PENULIS: DATO' SITI NOR BAHYAH MAHAMOOD
         : FATIMAH SYARHA MOHD. NOORDIN
         : IDA EZYANI OTHMAN


PENERBIT EKSEKUTIF: HAJI WAHARP YUSOFF


MUKA SURAT:66-68

"

Selasa, 14 Disember 2010

Sedarrlah ketika masih diberi waktu


Sabda rasulullah s.a.w : "Ya Allah, jauhkanlah antara diriku dengan dosa-dosa sepertimana Engkau jauhkan antara timur dan barat. Ya Allah, bersihkanlah diriku dari dosa-dosa seperti mana bersihnya pakaian yang putih daripada kekotoran. Ya Allah, sucikanlah dosa-dosaku dengan air, salju dan air yang sejuk." (Daripada Abu Hurairah, Riwayat Bukhari & Muslim)

Pernahkah kita terfikir,apabila melihat dunia ini? Dunia yang indah,yang diciptakan oleh Allah kini tercemar dengan maksiat-maksiat yang dilakukan oleh manusia?
Pernahkah kita terfikir akan dosa-dosa yang pernah kita lakukan? Pernahkah kita berasa malu dengan Allah terhadap maksiat-maksiat yang kita lakukan sepanjang hidup kita? Kita diberi rezeki di dunia ini, tapi adakah kita mengerjakan apa yang diperintahkan oleh-Nya?
Cuba kita fikir, kalaulah kita mati sekarang, layakkah kita ke syurga? Kita patut bersyukur kerana masih lagi hidup di dunia ini dan masih dapat bertaubat dan beribadat kepada-Nya. Jadi, gunakanlah masa sebaik-baiknya, hidup di dunia hanya sementara, carilah pahala untuk akhirat nanti. Kita sekarang berada di dunia akhir zaman.

Selepas kedatangan Dajjal, dunia ini tidak lagi penuh dengan kemaksiatan. Hanya tinggal orang soleh dan benar-benar bertakwa kepada Allah sahaja. Jadi,fikir-fikirkanlah, adakah kita ini sebahagian daripada mereka?
Jika difikirkan kembali, alangkah baiknya kalau kita ini buta, pekak dan bisu. Kenapa?
Sesungguhnya orang-orang ini diberi kelebihan atau keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.
Orang yang buta tidak akan dapat berzina melalui mata kerana dia tidak akan nampak aurat-aurat yang didedahkan oleh orang-orang yang tidak menjaga auratnya.
Orang yang pekak  dapat mengelakkan diri daripada zina telinga dan terjaga daripada  mendengar perkara-perkara yang tidak baik.
Orang yang bisu dapat  mengelakkan diri daripada menyebarkan fitnah,mengumpat,berzina melalui perkataan dan sebagainya.
Tapi, kita seharusnya bersyukur dengan pemberian Allah kepada kita pada hari ini, kerana kita dapat melihat dunia ciptaan Allah s.w.t yang indah ini.
Kita masih lagi dapat mendengar zikirullah, azan yang berkumandang dan sebagainya. Kita juga masih lagi dapat bercakap untuk menyebarkan dakwah serta membaca Al-Quran.
Jadi, butakanlah mata kita daripada melihat perkara-perkara yang mendatangkan zina atau dosa, bisukanlah suara kita daripada menyebarkan fitnah dan perkara-perkara yang tidak baik dilafazkan. Sesungguhnya orang yang menyebarkan fitnah seperti meratah daging saudara sendiri.
Pekakkanlah telinga kita daripada mendengar perkara-perkara yang tiada faedahnya dan dengarlah sesuatu yang mendatankan kecintaan  kita kepada pencipta kita, Allah s.w.t.

Lakukanlah perkara-perkara yang memantapkan lagi iman kita.
Carilah "harta" iaitu pahala yang boleh dibawa ke akhirat. Jauhilah dosa dan maksiat.
Berdoalah kepada Allah s.w.t yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui akan setiap pekara di atas dunia ini. Bertaubatlah selagi kita masih diberi waktu oleh Allah. Carilah cinta Allah s.w.t, satu-satunya cinta abadi yang tiada penipuan, kecewaan dan kekal.
- Artikel iluvislam.com

Ahad, 5 Disember 2010

Doa awal & akhir Tahun

Awal muharram jatuh pada 7 december, so mari kita sama2 membaca doa akhir tahun 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum Maghrib pada akhir Zulhijah...

Doa Akhir Tahun:

 Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata:
"Hampalah kami di sepanjang tahun ini".



Maksudnya:
   Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.
Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.



Doa Awal Tahun:

Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.

Doa ini dibaca tiga kali pada malam 1 muharam


Maksudnya:
   Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.
Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

Isnin, 22 November 2010

Cinta Membawa ke Syurga

Seorang Arab badwi bertemu Rasulullah s.a.w dan bertanya," Bilakah akan berlaku kiamat ya Rasulullah?" Rasulullah s.a.w, tidak menjawab, sebaliknya menyoalnya semula,  " Apakah yang telah engkau sediakan untuk menghadapinya?"

Orang Badwi itu menjawab, ' Aku tidak menyediakan dengan banyak mendirikan solat dan berpuasa tetapi aku menyediakannya dengan hati yang amat mencintaimu."

Mendengar jawapan orang Badwi itu Rasulullah s.a.w terus bersabda yang bermaksud  :" Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya di akhirat kelak."(Muttafaq 'alaih)

Alangkah bertuahnya jika cinta kita benar, betul dan tepat - kita akan sentiasa bersama kebenaran dan akan bersama dengan cinta itu di syurga nanti. Sebaliknya, alangkah malangnya jika kita salah meletakkan cinta, kita akan bersamanya di nerakaa!

itulah peri agung dan pentingnya cinta. Insya-Allah, orang Badwi yang mencintai Rasulullah s.a.w itu akan bersama Rasulullah s.a.w, di syurga. Ya kita akan sentiasa bersama dengan orang yang kita cintai semasa di dunia di akhirat nanti. Itu Kepastian yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Sesungguhnya, mencintai Rasulullah s.a.w ertinya mencintai Allah. Firman-Nya yang bermaksud  :" Sesiapa yang mencintai Allah, Maka Ikutlah aku." (surah Ali 'Imran 3:31)
p/s (marilah kita mencintai Allah dan Rasulullah, semoga kita dapat menuju ke syurga dengan cinta kita itu...Insya-Allah)

Rabu, 27 Oktober 2010

SALAM IMTIHAN...


Selamat m'hadapi imtihan pd semua sahabat2 yg kenal @ xkenal(xkshlah la asal msih lg kte b'saudara di dunia ini)...moga kejayaan m'iringi kesusahan yg tlh di hadapi...chaiyok2x...

KECANTIKAN LELAKI & KEGAGAHAN WANITA..

Kecantikan Lelaki

Kecantikkan seorang lelaki bukan kepada rupa
fizikal tetapi
-pada murni rohani
Lelaki yang cantik.....................
-Adalah lelaki yang mampu mengalirkan airmata
untuk ingatan,
-Adalah lelaki yang sedia menerima segala
teguran,
-Adalah lelaki yang memberi madu, setelah
menerima racun,
-Adalah lelaki yang tenang dan lapang dada,
-Adalah lelaki yang baik sangka dan,
-Adalah lelaki yang tak pernah putus asa.
Kecantikkkan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati.

Seluruh kecantikan yang ada pada Muhammad
yang umi adalah kecantikan yang sempurna bg
seorang lelaki.....

Kegagahan Wanita

Kegagahan seorang wanita bukan kepada pejal
otot badan,
-tetapi pada kekuatan perasaan,
Perempuan yang gagah.................
-Adalah perempuan yang tahan menerima
sebuah kehilangan,
-Adalah perempuan yang tidak takut pada
kemiskinan,
-Adalah perempuan yang tabah menanggung
kerinduan setelah ditinggalkan,
-Adalah perempuan yang tidak meminta-minta
agar di penuhi segala keinginan,
-kegagahan perempuan berdiri di atas teguh
iman,
-Seluruh kegagahan ini ada pada Khatijah yang
ehsan adalah kegagahan sempurna bagi seorang
perempuan... ...

Sabtu, 16 Oktober 2010

Menangislah kamu...


 BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM...
dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha penyayang menangislah kamu...

Detik waktu bersama kelahiran seorang bayi dihiasi tangisan .Nyaring
berkumandang menghiasi telinga si IBU. Merakah tersenyum hatinya gembira penawar sakit dan lesu serta berjuang dengan Maut. Lalu mulailah sebuah kehidupan yang baru didunia dengan sebuah risiko pahit dan kejamnya kehidupan ini, bercucurkan darah dan titis air mata. Air mata adakalanya penyubur hati, penawar duka. Adakalanya buih Kekecewaan yang menhimpit perasaan dan kehidupan ini. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor diperlimpahan.

Namun setitis air mata kerana takut kepada ALLAH persis permata indahnya gemerlapan terpancar dari segala arah dan penjuru.
Penghuni Syurga ialah mereka yang banyak mencucurkan air mata
Demi ALLAH dan Rasulnya bukan semata karena harta dan kedudukan.Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang.Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang batil, Alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan(pemuja dunia). Dari mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung Hari Akhirat yang dirasakan dekat,
mengalirkan air mata insaf mengharap kemenangan, serta rindu akan RasulNya.

"Penghuni Syurga itulah orang-orang yang menang." (al- Hasr: 20)
Tangis adalah basahan hidup,justeru:Hidup dimulakan dengan tangis,
Dicela oleh tangis dan diakhiri dengan tangis.Manusia sentiasa dalam dua tangisan.


Sabda Rasulullah s.a.w.
"Ada dua titisan yang ALLAH cintai, pertama titisan darah para Syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH."
Nabi Muhammad bersabda lagi : "Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH cintai daripada tasbih para wali."

Oleh karena itu berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang akan mengakibatkan diri menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia untuk selama-lamanya.
Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada Abid yang berangan-angan tentang Syurga mana kelak ia akan bertakhta.

Nabi bersabda : "Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih ALLAH
sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur."
Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulamak
dunia hilang ilmu,hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya.

Nabi Muhammad bersabda : "Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa."

Seorang Hukama pernah bersyair : "Aku heran dan terperanjat,melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan,lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan."

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal,takut-takut tidak Diterima ibadatnya,kita ketawa walaupun sedar diri kosong daripada amalan. Lupakah kita Nabi pernah bersabda : "Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa, akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis."

Kita gembira jika apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau
Yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka.

Namun,Allah s.w.t. telah berfirman : " Boleh jadi kamu membenci sesuatu,padahal ia amat baik bagimu,dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu,pada hal ianya amat buruk bagimu. ALLAH mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." (AL BAQARAH : 216)

Bukankah Nabi pernah bersabda: "Neraka dipagari nikmat, syurga dipagari bala."
Menangislah wahai diri, agar senyumanmu banyak di kemudian hari. Kerana
 engkau belum tahu, nasibmu dihizab kanan atau hizab kiri.
Di sana, lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, menyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafaat Rasulullah yang dikasihi Tuhan. Kenangilah, sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi  Adam yang menangis bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat.

 Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata:
"Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu."

Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya : "Kenapa engkau menangis?" "Aku tidak mempunyai anak lagi untuk saya kirimkan ke medan Perang," jawabnya.

Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan. Diharamkan matanya dari memandang ke langit seumur hidup,lalu berkata :"Sesungguhnya engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu."

Ibnu Masud r.a.berkata : "Seorang yang mengerti al Quran dikenali waktu
malam ketika orang lain tidur,dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya ketika orang lain sedang gembira dan tangisnya di waktu orang lain tertawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusuknya di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al Quran itu tenang,lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai, bersuara keras dan marah. 
Tanyailah orang-orang soleh mengapa dia tidak berhibur : "Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami,kubur di hadapan kami,kiamat itu janjian kami, neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah ALLAH."

Menangislah di sini, sebelum menangis di sana!!!...

Khamis, 30 September 2010

Peringatan Nabi s.a.w bagi Mereka yang Tidak Berfikir....

Latar belakang turunnya ayat 191 surah Ali'Imran sebenarnya sangat menggetarkan hati.Mari kita lihat peristiwa yang menjadi sebab turunnya ayat  tersebut, yang dicatat oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumiddin.

Seorang sahabat Rasulullah s.a.w .'Atha' bercerita: " Pada suatu hari aku dan Ubaid bin Umair pergi menziarahi Aisyah r.ha. dan beliau berbicara dengan kami di sebalik tirai pembatas. Ujar beliau :" Hai Ubaid, kenapa anda tidak datang-datang mengunjungi kami? ada apa dan mengapa?' Jawabku: 'disebabkan satu sabda Rasullullah s.a.w (yang bemaksud): 'kunjungan yang jarang-jarang akan menambah sayang.:" Ubaid lalu bermohon sudilah ibu menceritakan hal yang paling ajaib yang ibu lihat tentang Rasulullah s.a.w ."

Mendengar itu Aisyah pun berlinangan air mata, dan ujar beliau ." Semua ehwal baginda adalah ajaib. Suatu malam ketika giliran dirumahku, Baginda pun mendatangiku lalu bersentuhan kulit  Baginda dengan kulitku. Lalu Baginda bersabda yang bermaksud :" Biarkanlah daku beribadah kepada Allah s.w.t. Lalu baginda berdiri dan menuju tempat wuduk dan berwuduk. Kemudian Baginda solat seraya menangis tersedu-sedu hingga membasahi janggut Baginda. Kemudian Baginda sujud dan menangis sehingga air mata membasahi lantai.'

Seterusnya Baginda tidur secara duduk sehingga datang Bilal mengalunkan azan subuh. Kemudian Bilal bertanya : "Ya Rasullullah , kenapa dikau menangis? Padahal Allah telah mengampuni segala dosamu yang telah lalu mahupun dosa yang akan datang?

Jawab Baginda:" Wahai Bilal, masakan daku tidak menagis sedangkan pada malam tadi Allah s.w.t menurunkan ayat ini," Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan penggantian antara malam dan siang ada pelbagai tanda untuk orang yang berfikir" Seterusnya Baginda memberi peringatan :" Sungguh celaka orang yang membaca ayat ini , tetapi tidak berfikir merenungkan mesejnya".(Tafsir al-Azim Ibn Kathir)

Lihatlah betapa Rasullullah s.a.w mengingatkan akan "kecelakaan" bagi orang yang tidak melihat alam dengan pandangan mata hati. Dan kecelakaan itulah yang menimpa umat islam ini pada masa kini.

Maka lihatlah alam, langit, bumi, matahari, bulan,hujan, bintang, haiwan,tumbuhan dan juga diri  sendiri untuk mendekatkan kita kepada Allah s.w.t. Berfikir tentang keunikan,keteraturan, ketelitian dan segala yang "sempurna " akan menyebabkan hati kta mampu melihat Khalik(pencipta).Ketika itulah hati akan berbisilk, "alam ini Indah, namun Penciptanya jauh lebih indah.Alam ini sempurna, Allah tentu dan pasti lebih sempurna"...

Mereka Enggan Tunduk....


Perhatikan Imam al-Ghazali menulis bagaimana falsafah solat apabila dilaksanakan akan meleburkan sifat takabbur. " Antara rahsia itu adalah apa yang terdapat dalam solat iaitu membina tawaduk dengan merendah diri ketika berdiri tunduk,rukuk dan sujud. Sesungguhnya ada orang arab seketika dahulu tidak mahu membongkok(rukuk). Jika terjatuh cemeti dari tangan salah seorang daripada mereka ,maka mereka tidak mahu membongkok untuk mengambilnya. Dan apabila terputus tali kasut, maka mereka tidak mahu menundukkan kepala untuk memperbaikinya...."

"Sujud itu kesannya kehinaan dan kerendahan. Oleh sebab itu mereka disuruh bersujud, supaya dengan demikian hancurlah kesombongan mereka dan hilanglah keangkuhan mereka.Dan mantaplah tawaduk dalam hati mereka. Maka sesungguhnya rukuk dan sujud dan berdiri tegak adalah amal perbuatan yang dikehendaki oleh tawaduk."

Dalam sebuah riwayat ada menyebut bahawa hakim bin hizam( salah seorang saudara siti khadijah binti khuwalid) berkata: " aku boleh melakukan baiah dengan Nabi Muhammad namun aku tidak mahu menelungkup untuk sujud, malah solat juga dalam keadaan berdiri sahaja".

Baiah itu diterima oleh Nabi s.a.w Namun kemudiannya barulah dia (Hakim) difahamkan apa tujuan sujud itu dan dia pun mengerjakan sujud, lalu sempurnalah imannya....Pengajarannya kita hendaklah sentiasa merendahkan diri kita kepada Allah untuk mendapatkan Tawaduk dalam hati kita...semoga mendapat input...

Khamis, 23 September 2010

Usah Dibenci Pelaku Maksiat...

Diceritakan bahawa suatu ketika Nabi Isa a.s. sedang berjalan bersama seorang muridnya. Tiba-tiba seorang lelaki yang terkenal suka melakukan maksiat mengikut mereka dari belakang.

Murid Nabi Isa itu menoleh ke arah orang itu dengan penuh kebencian. Lalu dia berdoa didalam hati, "Ya Allah, janganlah Engkau himpunkan diriku bersama orang ini."

Nabi Isa tiba-tiba menoleh kepada muridnya dan berkata, "Doamu telah dikabulkan. Allah menerima taubat orang itu dan mengusir kamu.Pergilah engkau dari sisiku."

Kita sememangnya membenci perbuatan maksiat. Namun kebenciaan kita kepada maksiat tidak beerti kita membenci dan menghina orang yang melakukannya.

Seringkali sikap negatif sebegini membuatkan orang semakin jauh daripada agama. sebaliknya, kita harus membuka hati kita untuk mengasihi lalu memberi nasihat yang tulus kepadanya. Kelembutan selalunya lebih berkesan dalam mengubah orang lain daripada kekerasan atau penghinaan...

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
       " Sesiapa yang menghina seseorang kerana dosa yang pernah dilakukannya, maka ia tidak akan    mati  sebelum melakukan dosa tersebut," ( Riwayat al-Tirmizi)

Rabu, 15 September 2010

PUASA ENAM SYAWAL....

  Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pemurah. Di dalam bulan Syawal ini terdapat amalan yang menjadi kesinambungan drpd amalan pada Ramadhan yg lalu. Ibadat tambahan yg dimaksudkan ialah puasa enam iaitu berpuasa selama 6 hari dalam bulan Syawal sama ada berterusan @ berselang-seli selagi ia dilakukan pada bulan Syawal.

  Puasa 6 hari dlm bulan Syawal ada beberapa kelebihan, sbgaimana sebuah hadis : "Barang siapa b'puasa sebulan Ramadhan diikuti 6 hari dlm bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa selama setahun. Allah SWT juga berfirman dlm Surah Al-An'am yg b'maksud : "Brgsiapa  yg m'bawa amal yg baik maka bagi (pahala) 10 kali ganda. Dan brgsiapa yg m'buat perbuatan jahat maka dia tidak diberi pembalasan kecuali yg seimbang dgn kejahatannya. Sedang mereka sedikit pun tidak di aniaya (dirugikan) .

  Inilah kelebihan yg Allah SWT tawarkan bagi direbut oleh kite semua yg mungkin t'lepas kelebihan Ramadhan sebelum ini..Yuk rebut peluang ni same2..

Sabtu, 11 September 2010

SELAMAT HARI RAYA...

Kdg2 bile kte byk bicara m'buatkan hati terluka tanpa disedari..Mgkin ianya satu gurauan,krn itulah adanya p'umpamaan : Diam lebih baik dr berkata2..Namun kte manusia xterlepas dr salah & silap..Sahabatku, slama p'kenalan kte, seandainya hatimu terluka krnku...SEJUTA kemaafan kupohon...Salam Aidilfitri...


Jumaat, 20 Ogos 2010

BERWUDHU.....



Dalam pengajian kita sering mengulangkaji sesuatu subjek agar ingatan kembali jelas dan peperiksaan dapat dilalui dengan cemerlang. Apa kata pada ruangan kali ini kita melakukan satu ulangkaji, ulangkaji terhadap satu subjek yang kita belajar semasa zaman tadika atau fasa awal sekolah rendah. Kita mengulangkaji agar amalan kita sentiasa jelas dan kita lulus dalam peperiksaan di hari akhirat kelak. Subjek itu ialah wudhu’, yakni cara-cara mengambil wudhu’. Bagi ulangkaji ini, saya akan gunakan hadis berikut yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, hadis no: 164:
 “Bahawasanya Utsman bin ‘Affan meminta dibawakan sebuah bekas air untuk dia berwudhu. Lalu dia menuangkan air itu ke telapak tangannya dan mencuci kedua-duanya tiga kali. Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam bekas air itu (untuk menciduk air untuk dia) berkumur-kumur sambil memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar. Kemudian dia membasuh mukanya tiga kali dan kedua tangannya hingga siku tiga kali. Kemudian dia mengusap kepalanya dan membasuh kedua-dua kakinya tiga kali. Kemudian dia berkata: “Aku melihat Nabi SAW berwudhu’ sepertimana wudhu’ aku ini, lalu baginda bersabda: “Sesiapa yang berwudhu’ sepertimana wudhu’ aku ini lalu dia solat dua rakaat tanpa menyibukkan dirinya dalam melakukan dua rakaat itu, maka Allah akan mengampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.”Berdasarkan hadis di atas dapat kita ambil beberapa pelajaran penting berkenaan amalan wudhu’, iaitu:
Pertama: Bekas air yang digunakan untuk berwudhu’ hanyalah bersaiz kecil. Dalam sebuah hadis lain diterangkan bahawa Rasulullah SAW lazimnya berwudhu’ sebanyak satu “mud” air. [Shahih al-Bukhari, no: 201] Satu “mud” air ialah air yang dapat ditakung dengan kedua-dua telapak tangan orang lelaki bersaiz sederhana yang diletakkan bersama. Ia menyamai kuantiti air sebuah botol air mineral bersaiz kecil (600-700ml). Para ilmuan menyatakan satu “mud” bukanlah batas maksima penggunaan air wudhu’, tetapi menunjukkan sifat hemah penggunaan air oleh Rasulullah SAW. Jumlah ini hendaklah sama-sama kita renungi dalam suasana berwudhu’ masa kini yang menggunakan air paip yang mengalir deras, di mana jumlahnya jauh lebih banyak dari satu “mud”.
Kedua: Setelah membasuh kedua-dua telapak tangan, tangan kanan dimasukkan ke dalam bekas air untuk menciduk air bagi basuhan seterusnya. Nampaknya telah berlaku percampuran air, di antara air yang tersisa di telapak tangan setelah pembasuhan dan air yang berada di dalam bekas. Ini merupakan salah satu dari sekian banyak bukti bahawa syarat air mustakmal tidak berasal dari sunnah Rasulullah SAW. Air mustakmal bererti air yang telah digunakan untuk membasuh sesuatu anggota wudhu’, di mana ia tidak boleh digunakan semula oleh orang yang berwudhu. Syarat air mustakmal yang masyhur diajar hanya merupakan syarat yang dibuat-buat. Ia menyukarkan amalan wudhu’, membazirkan air dan tidak memiliki dalil kukuh dalam agama.
Ketiga: Para ilmuan berbeza pendapat hukum memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar ketika wudhu’, apakah ia sunat atau wajib? Di sebalik perbezaan ini, yang utama ialah kita memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar kerana ia merupakan sunnah yang mulia lagi menghasilkan pahala. Tidak ketinggalan, ia adalah praktik yang dapat membersihkan rongga hidung kita.
Keempat: Membasuh anggota wudhu’ sebanyak tiga kali merupakan jumlah maksimum. Jika dirujuk kepada hadis-hadis sahih yang lain, diterangkan bahawa Rasulullah SAW pernah membasuh anggota wudhu’ sekali, dua kali dan tiga kali. Semuanya bergantung kepada kadar penyebaran air dan pembasuhan. Jika anggota wudhu’ dapat disebarkan air ke atasnya dan dibasuh dengan lengkap, maka sekali sudah mencukupi. Tidak semestinya ia dilengkapkan kepada tiga kali. Jangan melebihi tiga kali kerana ia hanyalah was-was bisikan syaitan dan kezaliman ke atas diri sendiri. Rasulullah SAW mengingatkan: “Inilah wudhu’, sesiapa yang menambahnya maka dia berbuat keburukan, melampaui batas dan zalim”. [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 422]
Kelima: Semua anggota wudhu dibasuh sekali atau dua kali atau tiga kali kecuali kepala, ia diusap hanya sekali. Para ilmuan sekali lagi berbeza pendapat, apakah kepala diusap keseluruhannya atau cukup sebahagian atau cukup minimum tiga helai rambut? Di sebalik perbezaan ini, yang utama ialah mengusap keseluruhan kepala kerana itulah amalan Rasulullah SAW. Cara mengusap ialah menggunakan ruang di antara ibu jari dan jari telunjuk, basahkannya dan usap kepala dari hadapan ke belakang, dari belakang ke hadapan semula.
Ketahuilah bahawa telinga termasuk sebahagian dari kepala, maka setelah mengusap dari belakang ke hadapan, kedua-dua jari tangan kanan dan kiri terus mengusap telinga kanan dan kiri. Tidak perlu menciduk air atau membasahkan tangan semula.
Bagi para muslimat yang memakai tudung dan memiliki kesukaran untuk membuka dan memakainya kembali, Islam memberi kemudahan untuk mereka mengusap di atas tudung sahaja. Mereka tidak perlu membukanya untuk mengusap rambut sepertimana di atas. [Shahih Fiqh al-Sunnah, jld. 1, ms. 238-239]
Keenam: Selesai berwudhu sebagaimana Rasulullah berwudhu’, dianjurkan mendirikan solat sunat dua rakaat. Solat ini memiliki ganjaran yang besar kerana ia menghapuskan semua dosa-dosa yang telah lalu. Selain itu Rasulullah SAW juga pernah mendengar bunyi kasut tukang azannya – Bilal – di dalam syurga, lalu ditanya kepada Bilal apakah amalan khusus yang dilakukannya? Bilal menerangkan bahawa beliau mendirikan solat sunat selepas wudhu’ hampir setiap kali selepas berwudhu’. [Shahih al-Bukhari, no: 1149]

artikel dari hafizfirdaus.com....

Khamis, 5 Ogos 2010

Malaikat Kecil Menyampai Risalah Jalan-jalan Ke Syurga





Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, 
seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan 
berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan 
risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya
 Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam 

dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa menghulurkan 
risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan 
hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering 

dan panas dan seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"
Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?".

 "Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan
 risalah Allah" "Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu 
dan hujan juga agak lebat" "Ayah bukankah masih ada manusia 
yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun".
Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar 
dalam keadaan cuaca sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"
 Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan

 risalah-risalah itu kepada anaknya "Pergilah nak dan
 berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya 

itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam 
kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada 

sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan 
mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada 
penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" 

ada pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan 
selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing 
ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah 
terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan 

itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila 
sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng 
rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun
 tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. 
Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah 
inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil 
keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam 
lingkungan 
50 tahun.Mukanya suram dan sedih. 
"Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun

 dari langit.

"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin 
menyatakan
 yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara 
makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir 
ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah". Dia senyum dan 
tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" 
Dengan nada 
yang lembut.Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat 
bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai 
dia bertanya ," Ada sesiapa nak bertanyakan sesuatu?"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan 
berdiri. 
Dia adalah perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada 
sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak 
pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan
 anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang 
Muslim.

Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan

 saya keseorangan dalam dunia ini." Air mata mulai bergenang di
 kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk 

membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi 
di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung 
tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba 
saat saya untuk terjun, tiba-tiba oceng rumah saya berbunyi. Saya
 tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu 
akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian 
saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang 
tekan 
loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher 
dan terus pergi ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. 

Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". 
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang 
ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik" Itulah 
kata-kata yang paling indah yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya 
kemudian 
menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. 
Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya 
diletakkan semula ditempat asal mereka.

"Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang 

bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu, 
ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya 
saya di sini hari ini. 
Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu
 tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. 

Ramai pula yang berteriak dan bertakbir "ALLAHUAKBAR!"

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas 

terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis
sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya.
 
Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada
 hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam 
pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH

 kepada makhlukNya yang penyayang.





www.iluvislam.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...