Assalamualaikum...
dah lama rasenye x meng"Update" blog ni...harap2 ade lagi yang masih sudi membaca & seterusnya berkongsi ilmu. Insya"Allah, moga kita semua sentiasa dibawah lindunganNya dan smoga apa yang kita kongsikan bersama menjadi 1 amal kebaikan buat kita dalm mencari redha Allah...
kali ini saya nak kongsikan tentang wanita Solehah...moga2 kita dapat dan menuju kearah itu...:)
WANITA SOLEHAH
Maksud solehah? Tentu mudah sebab kita biasa mendengar sebutan “lelaki soleh” dan “wanita solehah”. Akan tetapi maksud solehah menurut al-Qur’an dan al-Sunnah?
Biasanya kita mentafsirkan ... “Wanita solehah ialah wanita yang selalu berbuat baik, iaitu kebaikan-kebaikan yang dianjurkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.”
dalam Surah Ali Imran, Ayat 114
Ayat 114 surah Ali Imran yang
bermaksud: Mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, menyuruh kepada segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (mungkar), dan mereka pula segera mengerjakan pelbagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.
Penghujung ayat ini: Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh segera menangkap perhatian saya kerana ia menjelaskan ciri-ciri orang yang soleh. Alhamdulillah, saya bergembira kerana telah menemui jawapannya dan sudah tentu tiada jawapan yang terbaik melainkan daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Atas kegembiraan ini juga, saya ingin berkongsi kepada para pembaca sekalian maksud – atau lebih tepat – ciri-ciri orang yang soleh. Marilah kita mengupas setiap ciri tersebut.
Beriman Kepada Allah dan Hari Akhirat.
Ciri pertama seorang yang soleh ialah dia beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Meski pun ayat ini hanya menyebut Allah dan Hari Akhirat, ia sebenarnya merangkumi semua rukun iman yang enam iaitu beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, Hari Akhirat dan taqdir. Ini kerana sesiapa yang beriman kepada Allah akan beriman kepada semua rukun iman yang lain dan sesiapa yang beriman kepada Hari Akhirat akan beriman bahawa dia akan disoal berkenaan rukun-rukun iman yang lain. Justeru memadai disebut dua rukun iman kerana ia merangkumi semua rukun iman yang lain.
Menyuruh Kepada Segala Perkara Yang Baik
Ciri kedua seorang yang soleh ialah dia menyuruh atau menganjurkan kepada segala perkara yang baik. Orang yang soleh tidak bangun solat subuh berseorangan tetapi turut mengejutkan dari tidur ahli keluarga atau rakan-rakan seasrama agar dapat sama-sama bersolat subuh. Orang yang soleh tidak sekadar menutup aurat dirinya tetapi mengajak ahli keluarga dan rakan-rakannya untuk turut berpakaian yang menutup aurat.
Dalam erti kata lain, orang yang soleh tidak soleh secara bersendirian tetapi mengajak orang-orang di sekelilingnya untuk turut menjadi soleh.
Melarang Daripada Segala Perkara Yang Salah
Tidak sekadar menyuruh kepada kebaikan, orang yang soleh juga melarang daripada segala bentuk kesalahan. Orang yang soleh contohnya, tidak pergi ke kelab-kelab malam dan menegah ahli keluarga serta rakan-rakan daripada pergi ke kelab-kelab malam. Orang yang soleh juga tidak membaca ramalan-ramalan bintang kelahiran (horoscope) dan menegah orang lain daripada membaca ramalan-ramalan tersebut. Ini kerana yang diharamkan oleh Islam bukan sekadar mempercayai ramalan-ramalan tetapi diharamkan juga untuk memberi perhatian kepadanya.
Oleh itu orang soleh tidak sekadar menjauhi perkara-perkara salah (mungkar) tetapi juga menasihati, menegur dan melarang orang lain daripada mendekati perkara-perkara salah tersebut.
Segera Mengerjakan Pelbagai Kebajikan
Orang yang soleh tidak cukup berbuat pelbagai kebajikan. Tahapnya lebih tinggi dari itu, yakni dia segera membuat pelbagai kebajikan. Orang yang soleh tidak cukup solat lima waktu sehari, tetapi dia mendirikan solat-solat tersebut pada awal waktu. Orang yang soleh apabila melihat iklan kempen mengutip derma, tidak akan menderma pada hari akhir kutipan tetapi segera menderma sebaik saja melihat iklan tersebut. Orang yang soleh apabila mendengar ibu atau bapanya dalam suasana keperluan, tidak akan menunda-nunda tetapi segera balik ke kampung untuk menolong.
Lelaki dan wanita yang berusaha menepati ciri-ciri inilah yang layak disebut: Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.