Sana sini...

Selasa, 19 April 2011

SOAL DAN JAWAB...semoga bermanfaat...

Assalamualaikum...semasa online saya membuka pages hafizfirdaus, terdetik pula hendak kongsikan sesuatu dengan teman-teman semua...yang saya rasa sangat menarik...

SOALAN : Ibu saya memakaikan tangkal kepada adik saya yang masih bayi. Tangkal itu diperolehi daripada seorang ustaz, bertujuan mengelakkan sesuatu yang buruk. Adakah boleh dipercayai amalan seperti ini?



Jawapan:

Amalan ini tidak akan mengelakkan pemakainya dari sebarang keburukan, bahkan akan menambah keburukan kepadanya. Pada zaman Rasulullah, ada seorang lelaki yang memakai ikatan di tangannya umpama tangkal. Apabila ditanya oleh Rasulullah apakah itu, dia menjawab: “Aku menjadikannya sebagai pelindung dari penyakit al-Wahinah.” Lalu Rasulullah bersabda: “Tiadalah ia menambah bagi kamu kecuali kelemahan (yakni bertambah-tambah sakit). Lemparkan ia daripadamu, kerana sesungguhnya jika kamu mati dan ia berada di atasmu, tidaklah ia akan membantu kamu selama-lamanya (yakni di Hari Akhirat).” [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5067 dengan sanad hasan]

Lebih dahsyat, tangkal merupakan satu amalan syirik kerana orang yang memakainya atau memakaikannya kepada orang lain sedikit atau banyak akan mengharapkan kekuasaan dari tangkal tersebut. Padahal harapan tersebut hendaklah difokuskan kepada Allah sahaja. Oleh kerana itulah dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah menegaskan: “Sesiapa yang menggantung tangkal maka sungguh dia telah berbuat syirik.” [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5065 dengan sanad hasan]

Mungkin ada yang berhujah, tangkal hanyalah jalan tengah antara pemakai dan Allah. Allah jua yang akan membantu dan melindungi. Hujah ini dipatahkan oleh hadis berikut: “Sesiapa menggantung tangkal maka Allah tidak akan menyempurnakan baginya (hajatnya).” [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5064 dengan sanad hasan]

Perhatikan dalam hadis-hadis di atas, Rasulullah menyebut tangkal secara umum tanpa membezakan sama ada ia dijampi dengan ayat al-Qur’an atau selainnya, sama ada ia dijampi oleh seorang ustaz, imam atau sesiapa jua. Asalkan ia adalah tangkal dalam apa jua bentuk, maka ia adalah syirik, diabaikan oleh Allah dan menambah keburukan di sebalik apa yang diharapkan. Justeru hendaklah anda segera membuang tangkal pada adik anda tersebut kemudian menjelaskan kepada ibu hukum tangkal di dalam Islam.


Soalan:

Adakah batal solat jika ketika membaca surah, saya terlupa lalu menukar kepada membaca surah yang lain?


Jawapan:
Asalkan surah-surah selain al-Fatihah, maka boleh menukar surah dan ia tidak membatalkan solat. Berbeza dengan surah al-Fatihah, membacanya adalah wajib pada setiap rakaat dan menukarnya dengan surah lain membatalkan solat.

SOALAN:

Saya ingin mengikuti sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam dalam etika duduk. Bagaimanakah baginda duduk ?

Jawapan HF:

Alhamdulillah, ini adalah satu keinginan yang baik lagi mulia. Allah Ta ‘ala berfirman:

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [‘Ali Imran 3:31]

Ada beberapa hadis dalam bab ini, antaranya:

[1] Duduk bersila:

Jabir bin Samurah radiallahu-anhu berkata:

Adalah Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam setelah bersembahyang Fajar (Subuh), baginda duduk bersila di tempatnya sehinggalah terbitnya matahari yang indah (keputihan sinarnya).

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan lain-lain, dinukil dan dinilai sahih oleh Imam Nawawi dalam Riyadus Salihin (tahqiq & takhrij Shaikh Syu‘aib al-Arnuth; Maktabah al-Ma’mun, Jeddah 1996) – no: 821.

[2] Duduk di atas sebelah kaki manakala sebelah lagi diangkat dan dipaut dengan tangan.

Abdullah ibnu Umar radiallahu ‘anhuma berkata:

Saya melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam di halaman Ka’bah, beliau duduk dengan menegakkan kedua lututnya, (iaitu) dengan melingkar kedua tangannya ke sekeliling lututnya, dan ini cara duduk al-Qurfusaa’.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan dinukil oleh Imam Nawawi dalam Riyadus Salihin – no: 822.

Duduk al-Qurfusaa’ adalah duduk mencangkung di atas sebelah lutut manakala lutut yang lain dilipat dan diangkat ke atas dan dipautnya dengan tangan sehingga bahagian peha mendekati badan atau perutnya. [Lihat Al-Alamah Muhammad bin ‘Allan: Daliil al-Falihin li Thariq Riyadus Salihin (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995), 3/272].

[3] Duduk bertinggung.

Anas bin Malik radiallahu ‘anhu berkata:

Aku melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam duduk bertinggung sambil makan kurma.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitabnya Sahih Muslim – no: 2044.

Duduk bertinggung ialah duduk di atas kedua tapak kaki dengan kedua-dua kaki berlipat dan punggung tidak menjejak tanah.

[4] Jangan duduk bersandar dengan sebelah tangan.

Syirrid bin Suwaid radiallahu ‘anhu berkata:

Rasulullah melintas di hadapan aku sedang aku duduk seperti ini, iaitu saya bersandar kepada tangan kiri saya yang saya letakkan di belakang. Lalu baginda bersabda: Adakah engkau duduk sebagaimana duduknya orang-orang yang dimurkai ?

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, dinukil dan dinilai sahih oleh Imam Nawawi dalam Riyadus Salihin – no: 824.

[5] Jangan duduk bersandar.

Abu Juhaifah radiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

Jangan makan sambil bersandar.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan dinukil oleh Imam Nawawi dalam Riyadus Salihin – no: 746.

Yang dimaksudkan bersandar adalah seperti orang yang duduk miring ke lambungnya yang sebelah, sepertimana yang dilakukan oleh orang-orang angkuh dan sombong. Cara duduk seperti ini ditegah oleh Rasulullah. Selain itu cara duduk sedemikian mengganggu kelancaran perjalanan makanan dalam badan, dari mulut ke perut. [Lihat Al-Alamah Ibnu ‘Allan: op. cit., 3/209].

Demikian beberapa petunjuk sunnah Nabawiyah dalam cara duduk. Selain itu dibolehkan duduk sepertimana kita duduk dalam solat, iaitu duduk di antara dua sujud dan duduk Tasyahud akhir.


SOALAN:

Apakah perkara sunat yg dilakukan rasulullah sebelum baca quran?



Jawab THTL:

Imam Nawawi dalam at-Tibyan fii hamalatil Qur'an menyenaraikan 20 perkara sunnat sebelum membaca alQur'an:

1. bersugi/berus gigi
2. bersuci/wudhu'
3. di tempat yg suci

4. menghadap kiblat
5. melihat musyhaf
6. membaca ta'awudz

7. membaca dgn tartil
8. membaca dgn qira'at yang tujuh
9. membaca dgn tertib (ikut susunan rasm uthmani)

10. membaguskan suara
11. tadabbur (penghayatan)
12. mengulang-ngulang bacaan

13. menangis
14. menghindari sikap yg kurang baik
15 apabila menemui ayat rahmat (memohon) atau ayat azab (mohon perlindungan)

16. ketika ada hajat (bersin dan menguap) hendaklah berhenti dgn tertib dan waqaf

17. sujud pada ayat sajdah
18. waktu yg tidak baik utk membaca al-Qur'an (dalam toilet)

19. adab khatam alQur'an
20. ketika menyentuh musyhaf (sebaiknya berwudhu')

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...