emm...moga video ni dapat membantu kita kusyuk,,,semoga kita semua mendapat keberkatan dan cinta ALLAh...
disini saya kongsika tips2 mendapatkan kusyuk.
Berikut adalah beberapa perkara yang boleh dibuat untuk membantu menimbulkan khusyu‘ dalam sembahyang:
1. Sebelum mendirikan sembahyang pastikan perkara-perkara berikut:
i) Menjaga makanan dan minuman.
Khusyu’ itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu
dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda- benda yang
haram atau tidak halal. Oleh itu, pastikan apa yang kita makan dan minum
hendaklah bersumber daripada yang halal.
Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:
Maksudnya:
Ketahuilah!
Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik baiklah badan
seluruhnya dan apabila ia rosak rosaklah sekaliannya. Ketahuilah!
Itulah ya dikatakan hati.
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
ii) Mengambil wudhu dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat. Sebab kesempurnaan sembahyang juga terletak kepada kesempurnaan wudhu’.
Diriwayatkan
daripada Abu Rauh al-Kula‘ie daripada seorang laki-laki bahawa beliau
pernah mendirikan sembahyang Subuh bersama Rasulullah Shallallahu
'alaihi wasallam. Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam dalam sembahyang
tersebut membaca surah ar-Ruum. Pada salah
satu ayatnya, bacaan Baginda terganggu. Lalu apabila selesai sembahyang Baginda bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya
bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu
yang sembahyang bersama kami tidak menyempurnakan wudhu’ mereka. Oleh
itu, siapa yang mendirikan sembahyang bersama kami, maka sempurnakanlah
wudhu’nya.
(Hadits riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)
Di
samping itu sebahagian kelebihan wudhu’ itu dapat menjauhkan seseorang
daripada gangguan syaitan. Saidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu berkata:
Maksudnya: “Sesungguhnya wudhu’ yang baik itu mengusir syaitan daripada engkau.”
iii) Membersihkan diri, termasuk bersugi. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Jika
tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia
nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak sembahyang.
” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Para ulama menegaskan bahawa bersugi itu mempunyai tujuh puluh faedah. Antara faedah dan kelebihannya ialah:
�� Membersihkan dan mengharumkan bau mulut.
�� Memutihkan gigi.
�� Mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
�� Membetulkan atau meluruskan tulang belakang.
�� Menolong menguatkan gusi.
�� Meningkatkan kecerdikan.
�� Menggandakan pahala amal ibadat.
�� Melancarkan kefasihan atau kepetahan pertuturan.
�� Menguatkan hafalan.
�� Mensucikan hati.
�� Menyukakan malaikat.
iv) Jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.
v) Jangan sembahyang dalam keadaan lapar.
Sebolehnya
selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk makan
dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul
kebimbangan dan ketidakselesaan ketika menunaikan sembahyang.
Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:
Maksudnya:
Jangan
sembahyang ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan
jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.
(Hadis riwayat Muslim)
vi) Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung kaki
yang sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya.
vii) Pilih tempat sembahyang yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya.
Termasuk
langkah yang boleh dibuat, pastikan tidak terdapat telepon di dalam
bilik tersebut. Atau jika membawa bersama telepon bimbit, pastikan ianya
dimatikan (switch off) sebelum sembahyang.
Imam an-Nawawi
Rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan sembahyang di tempat
orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan
sembahyang seseorang.
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya:
“Bahawa
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menegah mendirikan sembahyang
pada tujuh tempat: Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan,
kubur, tengah-tengah jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling
air dan di atas Baitullah.”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)
iix) Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.
Diriwayatkan
daripada Saidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Nabi Shallallahu
'alaihi wasallam pernah mendirikan sembahyang di atas hamparan daripada
bulu yang mempunyai objek lukisan, lalu Baginda bersabda:
Maksudnya:
“Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan kepadaku hamparan tebal yang tidak ada ukiran.”
(Hadits riwayat Muslim)
Imam
an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan mengenai riwayat di atas bahawa
ianya memberi petunjuk akan galakan supaya menghindarkan atau menjauhkan
apa-apa yang dikhuatiri melalaikan hati dari khusyu‘ ketika mendirikan
sembahyang.
Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah bin
‘Umar Radhiallahu ‘anhuma tidak pernah meletakkan al-Qur’an atau
pedangnya di tempat sembahyangnya, juga tulisan atau surat. Semuanya
diletakkan di belakangnya atau di mana saja yang tidak dapat dilihat
olehnya.
2. Ketika hendak menunaikan sembahyang lakukan perkara-perkara berikut:
i) Usahakan sembahyang dilakukan secara berjemaah.
Mendirikannya dalam keadaan berjemaah adalah suatu tuntutan. Sembahyang berjemaah itu adalah di antaravsyi‘ar agama.
Selain
pahala sembahyang berjemaah itu melebihi sembahyang seorang diri dengan
dua puluh tujuh darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang
yang sembahyang berjemaah itu memperolehi khusyu‘ ketika sembahyang dan
terselamat daripada perkara yang boleh
melalaikannya.
ii) Menghadirkan hati.
Maksudnya
ialah sebelum mendirikan sembahyang kosongkan hati dari segala urusan
yang boleh mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan ibadat
sembahyang yang dikerjakan.
Tersebut dalam satu
riwayat bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda
kepada seorang sahabat bernama ‘Utsman bin Thalhah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya:
“Aku
lupa untuk menyuruhmu menutup dua tanduk kibasy (dari pandangan orang).
Maka sesungguhnya tidak sepatutnya ada di rumah sesuatu yang mengganggu
orang yang sembahyang.””
(Hadits riwayat Abu Daud)
Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu berkata:
“Antara
tanda kefahaman seseorang ialah dia memulai memenuhi keperluannya
terlebih dahulu sebelum dia masuk menunaikan sembahyang supaya dia masuk
ke dalam sembahyang dalam keadaan hatinya kosong dari perkara yang
lain.”
iii) Mengingatkan mati dan kemungkinan sembahyang itu yang terakhir sekali dalam hidupnya.
Diriwayatkan
daripada Hatim al-Asham Radhiallahu ‘anhu bahawa ditanyakan kepadanya
tentang sembahyangnya, beliau beliau menjawab:
Maksudnya:
“Apabila
tiba waktu sembahyang aku menyempurnakan wudhu dan aku mendatangi
tempat di mana di situ aku hendak mendirikan sembahyang. Lalu aku duduk
pada tempat itu sehingga berkumpullah seluruh anggota tubuhku. Kemudian
aku berdiri menunaikan sembahyangku dan aku jadikan Ka‘bah di antara dua
keningku, titian ash-shirath di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah
kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku, aku
menyangka sembahyang ini adalah sembahyangku yang terakhir. Kemudian aku
berdiri di antara mengharap dan takut, aku bertakbir dengan penuh
keyakinan, aku membaca dengan bacaan yang betul, aku ruku‘ dengan
merendahkan diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk atas punggung kiri
dan aku bentangkan belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki
kanan atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. Kemudian aku
tidak tahu sama ada sembahyangku diterima atau tidak?”
iv) Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri daripada syaitan. Umpamanya seperti berikut:
�� Surah an-Nas:
Tafsirnya:
“Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara
sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak
disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik, penghasut yang
timbul tenggelam. ”
�� Ta‘awudz, seperti:
Tafsirnya: “Wahai Tuhanku! Aku berlindung kepadaMu dari hasutan syaitan-syaitan, dan aku
berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.”
�� Tahlil:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ
Ertinya: “Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”
�� Zikir:
امنا با الله و برسوله
Maksudnya: “Kami beriman dengan Allah dan rasulrasulNya.”
Antara tipu daya syaitan ialah memesongkan atau memalingkan perhatian semasa sembahyang. Caranya ialah dengan memalingkan hati kita dari meneliti dan memahami apa yang sedang kita baca.
Dari situ kita akan hilang renungan untuk hari akhirat dan keikhlasan
ibadat yang dilakukan. Adakalanya sehingga seorang itu boleh menjadi
ragu dan was-was tentang bilangan rakaat yang telah ditunaikannya,
adakah sudah cukup atau masih lagi kurang.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya
salah seorang daripada kamu apabila berdiri menunaikan sembahyang
syaitan akan mendatanginya, lalu syaitan menimbulkan kesamaran ke atas
orang itu sehingga dia tidak tahu berapa rakaat sudah ditunaikannya….”
(Hadits riwayat Muslim)
3. Ketika menunaikan sembahyang pusatkan perkara-perkara berikut:
i)
Meneliti bacaan-bacaan dalam sembahyang, sama ada bacaan itu terdiri
dari ayat-ayat al-Qur’an atau selain dari ayat-ayat al-Qur’an iaitu
tasbih dan takbir dan doa. Jika boleh, fahami makna
bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan hati
dalam sembahyang. Hati mestilah ikut mengetahui segala apa yang kita
baca.
ii) Merasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam ruku‘ dan sujud. Tempoh masa rukuk dan sujud pula elok dipanjangkan.
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud…..
(Hadis riwayat Muslim)
iii)
Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir
dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam sembahyang.
iv) Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia.
v)
Segala perhatian dalam sembahyang itu hendaklah tertumpu hanya kepada
mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali.
vi) Sembahyang dilakukan dalam keadaan thuma’ninah. Thuma’nînah dalam ruku‘, sujud dan lain-lain rukun fi‘li (perbuatan).
Thuma’ninah
ertinya anggota seseorang itu tetap diam seketika ketika melakukan
suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang seperti ruku‘, sujud dan
sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya.
Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar bacaan
zikir:
“ .” سبحان الله Maknanya, gerakan di dalam sembahyang itu tidak
dilakukan dengan tergopoh-gapah, tidak dilakukan dengan bercepat-cepat
tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada mengajar kita tentang perkara ini di dalam sabda Baginda:
Maksudnya:
“Apabila kamu berdiri menunaikan sembahyang maka bertakbirlah. Kemudian
bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga
kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga
kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam
keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam
keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua sembahyang
kamu.
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
vii) Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta,
sekalipun sembahyang di dalam gelap kecuali ketika membaca perkataan
إلاّ الله dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang
sembahyang itu dialihkan ke jari telunjuknya.
Jika
memejamkan mata boleh mendatangkan khusyu‘ dalam sembahyang seseorang
itu, maka bolehlah dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh
sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.
Begitulah
beberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk mendapatkan khusyu‘ di
dalam sembahyang. Memang tidak dinafikan, terdapat setengah orang masih
tidak mampu memperolehi khusyu‘ di dalam sembahyangnya walaupun dengan
mengamalkan bermacam-macam tip atau panduan.
Yang
penting tidak mudah berputus asa dan sentiasalah gerakkan diri kita
berusaha untuk mendapatkannya. Jangan lupa juga untuk banyak-banyak
memohon doa kepada Allah Ta‘ala supaya dikurniakan kepada kita hati yang
bersih dan khusyu‘ dalam beribadat kepadaNya.