Rabu, 16 Mei 2012
Surah al-Fatihah
Surah ini amatlah penting sehingga ia menjadi syarat sah atau tidak solat yang kita dirikan. Bahkan ia menjadi kunci sama ada solat yang kita dirikan itu memberi kesan positif atau sebaliknya dalam kehidupan seharian. Ini kerana antara hikmah solat ialah, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah: Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar. [al-Ankabut 29:45]
Namun apabila solat itu masih tidak dapat mencegah diri kita atau orang lain dari perbuatan keji dan mungkar, ertinya terdapat beberapa kekurangan dalam solat yang didirikan itu. Kekurangan yang penting ialah tidak memahami dan menghayati surah al-Fatihah yang dibaca di dalam solat. Sebelum kita menghuraikan maksud dan mutiara-mutiara surah yang agung ini, marilah kita tinjau terlebih dahulu beberapa keutamaannya.
Keutamaan Surah al-Fatihah.
al-Fatihah bererti pembukaan, justeru di sini ia bermaksud sebagai pembukaan kepada kitab al-Qur’an al-Karim. Kitab al-Qur’an adalah sebuah buku yang Allah berikan kepada kita sebagai panduan hidup. Ia adalah sebuah buku yang suci, tinggi nilainya, mengandungi pelbagai hikmah dan pengajaran serta tidak memiliki apa-apa tandingan dengan mana-mana buku lain, baik dari agama lain atau para penulis hebat yang lain. Nah! Jika sedemikian hebat buku atau kitab al-Qur’an ini, maka bayangkan betapa hebat pula surah atau bab yang menjadi pembuka kepada al-Qur’an!
Berkenaan keutamaan ini, Rasulullah bersabda: Demi Allah yang nyawaku berada di Tangan-Nya, tidak diturunkan dalam Kitab Taurat, tidak juga dalam Kitab Injil, tidak juga dalam Kitab Zabur, tidak juga dalam al-Qur’an yang semisalnya, iaitu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang (surah al-Fatihah). [Musnad Ahmad, no: 8682 dengan sanad yang sahih]
Dalam hadis di atas, surah al-Fatihah juga digelar tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang kerana dalam surah al-Fatihah ada tujuh ayat dan surah ini sendiri dibaca paling kurang sebanyak tujuh belas kali sehari dalam solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak (2+4+4+3+4=17).
Dalam hadis di atas juga, surah al-Fatihah dinyatakan sebagai tidak juga dalam al-Qur’an yang semisalnya, bermaksud tidak ada di dalam seluruh al-Qur’an surah yang keutamaannya semisal (seumpama) surah al-Fatihah. Ini diperkuatkan dalam sebuah hadis yang lain, di mana Rasulullah bersabda kepada Abu Sa’id al-Mu’alla: Sungguh saya akan mengajarimu tentang surah yang paling agung yang terdapat di dalam al-Qur`an sebelum kamu keluar dari Masjid… (iaitu surah yang bermula dengan) “Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin”, ia adalah tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan (merupakan sebahagian daripada) al-Qur’an al-‘Azhim yang telah diwahyukan kepadaku. [Shahih al-Bukhari, no: 4114]
Sebelum Membaca al-Fatihah
Surah al-Fatihah adalah pembuka al-Qur’an dan sebahagian daripada al-Qur’an. Apabila kita hendak membaca, mengkaji dan berinteraksi dengan al-Qur’an, amatlah penting untuk meminta perlindungan Allah dari gangguan syaitan dengan membaca “A’uzubillahi minash syaithani rajim”. Ini berdasarkan firman Allah: Oleh itu apabila kamu membaca al-Qur’an, maka hendaklah kamu (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan yang direjam. [al-Nahl 16:98]
“A’uzubillahi minash syaithani rajim” bererti “Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam”. Maksud “Aku berlindung…” ialah kita mengaku kelemahan diri kita sehingga dengan itu meminta perlindungan. Ini penting kerana ada orang yang angkuh, merasakan dirinya tidak perlu meminta perlindungan. Maksud “…kepada Allah…” ialah kita memohon perlindungan kepada Allah sahaja dan tidak kepada mana-mana makhluk lain sama ada syaikh, ustaz, wali-wali, bomoh atau pawang.
“Syaitan” dari sudut bahasa bermaksud “jauh”. Dari sudut Islam, syaitan bererti apa-apa makhluk yang cuba menghasut manusia agar jauh dari Allah, jauh dari al-Qur’an, jauh dari sunnah Rasulullah, jauh dari jalan yang lurus, jauh dari petunjuk, jauh dari apa yang diajar oleh Islam baik aqidah, fiqh mahu pun akhlak. Syaitan boleh terdiri dari makhluk manusia atau jin, sebagaimana firman Allah: Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan, manusia dan jin. [al-An’aam 6:112]
Berwaspada Terhadap Syaitan
Syaitan sentiasa menyertai kita dalam semua urusan. Ia sentiasa mencari jalan, walaupun sekadar celahan yang kecil, untuk menjauhkan kita dari Allah, Rasul-Nya dan Islam. Rasulullah pernah mengingatkan kita berkenaan bahaya ini: Sesungguhnya syaitan hadir di sisi seseorang kalian pada setiap sesuatu yang kalian lakukan. [Shahih Muslim, no: 3794]
Oleh kerana itulah kita diperintahkan untuk menjadikan syaitan sebagai musuh kita, baik yang kita nampak atau tidak, sedar atau tidak. Allah berfirman: Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh; sebenarnya ia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka. [Fatir 35:06]
Termasuk dalam rangka menjadikan syaitan sebagai musuh ialah sentiasa meminta perlindungan kepada Allah dalam apa juga yang kita lakukan. Ini kita lakukan dengan kerap membaca “A’uzubillahi minash syaithani rajim” atau apa-apa doa lain yang diajar oleh Rasulullah.
Maksud “…yang direjam” ialah gambaran keazaman serta kesungguhan kita menyatakan kebencian dan permusuhan kepada syaitan. Dalam erti kata lain, kita bersungguh-sungguh memusuhi dan membenci syaitan serta benar-benar mengharapkan perlindungan Allah dari hasutannya.
Oleh itu apabila kita membaca al-Qur’an secara umum dan surah al-Fatihah secara khusus, hendaklah kita memohon perlindungan Allah dari syaitan yang direjam dengan menyebut “A’uzubillahi minash syaithani rajim”. Ini bagi mengelakkan syaitan dari mengganggu kefasihan bacaan kita, menghasut kita dengan sifat malas untuk meneruskan bacaan, melalaikan kita dari memahami apa yang sedang dibaca dan menjauhkan kita dari kefahaman sebenar ayat-ayat yang dibaca.
entry dari hafizfirdaus.com.
(sampaikan lah walau sepotong ayat)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan